Pengumuman exco baharu dijangka dua minggu lagi – MB Perlis
KANGAR – Barisan exco baharu Perlis dijangka akan dimuktamadkan dalam masa dua minggu.
Menurut Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah, beliau akan mengadakan perbincangan dengan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Rahimi Ismail terlebih dahulu sebelum senarai nama itu dihantar Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.
“Proses ini akan mengambil masa sedikit namun barisan exco sedia ada ini akan menjadi ‘caretaker’ untuk apa juga majlis rasmi yang boleh dihadiri sedia ada.
“Jangkaan kita proses ini akan dapat diselesaikan dalam masa dua minggu lagi dan untuk barisan exco kali ini juga, kita belum memutuskan sama ada akan berlaku pengurangan jumlah exco atau penambahan exco kerana ia bergantung kepada kewangan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Sesi ‘Clock-In’ Menteri Besar Perlis di Pejabat Menteri Besar, Kompleks Seri Putra, di sini hari ini.
Berhubung kekosongan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bintong, Chuping dan Guar Sanji yang diumumkan oleh Speaker DUN Negeri, Rus’ele Eizan 25 Dis lalu, Abu Bakar berkata pihaknya akan berbincang dengan Rahimi dan Penasihat Undang-Undang Negeri, Yang Zaimey Yang Ghazali terlebih dahulu.
“Saya akan membincangkan secara terperinci dengan Setiausaha Kerajaan negeri dan Penasihat Undang-Undang Negeri bagaimana kita hendak selesaikan secara elok dan sebolehnya kita hendak ia baik.
“Kita tidak boleh tarik balik percakapan (Speaker DUN) tetapi kita hendak ke hadapan ini untuk kita pastikan bahawa Perlis tidak menjadi satu negeri yang ‘berselerak’ dan terumbang-ambing tetapi dengan pelantikan ini sudah mengorak langkah di mana kekosongan kerusi itu akan dipertimbangkan sama ada keputusan itu terletak kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








