UMNO menyimpang daripada idealisme perjuangan asal?
KUALA LUMPUR – Antara punca penolakan pengundi Melayu apabila mereka menafsirkan UMNO telah menyimpang daripada idealisme perjuangan asal.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, salah satu buktinya apabila kepemimpinan UMNO memusnahkan Muafakat Nasional yang menjadi harapan umat Melayu terhadap penyatuan ummah.
Lebih memburukkan keadaan, beliau berkata, apabila kepemimpinan tertinggi parti itu mengheret UMNO untuk bersama DAP malah menggesa supaya jentera bekerja dan mengundi parti berkenaan dalam pilihan raya.
“Pengaruh UMNO di Malay Belt atau lingkaran Melayu – Kedah, Kelantan dan Terengganu – sangat kritikal seperti pesakit di ICU. UMNO hanya mampu menang satu kerusi. Hilang 20 kerusi jika dibandingkan dengan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
“Analisa awal menunjukkan sokongan pengundi Melayu di Kedah kepada PH-BN hanyalah 17 peratus. PN telah memenangi 21 DUN dengan majoriti lebih 10,000 undi manakala empat DUN dengan majoriti lebih 20,000 undi.
“Justeru, UMNO memerlukan perubahan drastik dari segi pendekatan, menjual naratif yang boleh diterima oleh rakyat dan perubahan kepimpinan untuk terus relevan dalam arus politik negara,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kolumnya, Jalar Fikir yang disiarkan Utusan Malaysia di sini hari ini.
Ismail Sabri yang juga Ketua UMNO Bahagian Bera berkata, keputusan PRN tersebut menunjukkan parti itu seolah-olah terpaksa bergantung kepada undi bukan Melayu untuk mencapai kemenangan.
“Ini sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
“Jangan membiarkan nasib UMNO persis MCA dan Gerakan yang terpaksa berpapah kepada undi Melayu untuk memenangi sebarang kerusi dalam pilihan raya,” katanya.
Tambahnya, untuk pulih UMNO, memerlukan kepimpinan yang dinamik, berkebolehan dalam mengembalikan idealisme perjuangan parti.