Dua cuti umum bertindih, pekerja KL, Putrajaya dan Labuan nikmati cuti panjang
PETALING JAYA – Pekerja di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan bakal menikmati dua hari cuti tambahan apabila Hari Thaipusam dan Hari Wilayah Persekutuan jatuh pada tarikh yang sama, iaitu 1 Februari 2026 (Ahad).
Pempengaruh sumber manusia (HR), Ku Sim Ling berkata, susulan kekeliruan orang ramai mengenai kelayakan cuti ganti apabila cuti umum jatuh pada hari rehat mingguan.
“Berdasarkan undang-undang buruh Malaysia, pekerja berhak menerima cuti gantian sekiranya cuti umum jatuh pada hari rehat.
“Undang-undang buruh sejak 1955 menetapkan bahawa jika cuti umum jatuh pada hari rehat, maka cuti gantian perlu diberikan pada hari bekerja berikutnya.
“Dalam situasi ini, Isnin dan Selasa akan menjadi cuti ganti, dan pekerja hanya kembali bekerja pada hari Rabu,” katanya dalam satu hantaran di laman Instagram miliknya, @professionalbimbo yang turut dikenali sebagai Aunty HR.
Menurut beliau, cuti Hari Thaipusam dan Hari Wilayah Persekutuan yang jatuh pada hujung minggu itu akan digantikan dengan dua hari cuti tambahan, sekali gus memberi peluang kepada pekerja menikmati hujung minggu panjang.
Sim Ling turut berkata, pekerja yang masih perlu bekerja pada hari tersebut layak menerima bayaran mengikut kadar yang ditetapkan undang-undang.
“Bagi Ahad, bayaran adalah mengikut kadar hari rehat, manakala bagi Isnin dan Selasa pula, majikan perlu membayar mengikut kadar cuti umum,” katanya lagi.
Perkongsian itu mendapat perhatian meluas di media sosial apabila ramai pengguna meluahkan rasa lega selepas memahami hak cuti gantian yang termaktub dalam undang-undang pekerjaan negara.
Rata-rata pekerja di Wilayah Persekutuan menyifatkan penjelasan itu membantu mereka merancang cuti dan percutian lebih awal tanpa kekeliruan mengenai kelayakan cuti ganti.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








