HIBURAN

Kamal Adli mohon henti kongsi kisah silam dirinya dan isteri

KUALA LUMPUR – Pelakon Kamal Adli merayu orang ramai supaya menghentikan penyebaran dan perkongsian kisah silam melibatkan dirinya serta isteri, Uqasha Senrose di media sosial demi menjaga kebajikan anak mereka yang masih kecil.

Kamal atau nama penuhnya Ahmad Kamal Ahmad Adli, 39, berkata, permintaan itu dibuat kerana bimbang kandungan berunsur negatif berkenaan akan dibaca anak mereka apabila besar nanti.

Anak pasangan itu, Hawra Uqaira kini baru berusia setahun.

“Saya nak minta tolong, boleh tak minta ihsan kalian atau sesiapa sahaja untuk berhenti muat naik kisah masa silam saya dan Uqasha yang tidak baik.

“Sebab perkara itu tak elok untuk Hawra. Kasihan kami. Maaf sangat, semoga Allah SWT merahmati kalian semua,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.

Sejak kemelut rumah tangga pasangan itu mendapat perhatian umum, segelintir netizen didakwa bertindak mengorek semula kisah lama termasuk laporan hubungan percintaan Uqasha bersama beberapa pelakon lelaki sebelum ini.

Keadaan menjadi lebih sensitif apabila ada pihak berkongsi semula tangkap layar laporan lama berkaitan penahanan Uqasha atas dakwaan penyalahgunaan dadah sekitar 2018.

Terdahulu, proses Jawatankuasa Pendamai (JKP) melibatkan kedua-dua keluarga dilaporkan tidak mencapai kata sepakat apabila Kamal masih berhasrat mempertahankan rumah tangga mereka.

Susulan itu, Mahkamah Syariah melantik hakam atau perunding tara bagi sebutan seterusnya yang dijadualkan pada 12 Januari 2026.

Sebelum ini, Uqasha memfailkan permohonan cerai terhadap Kamal pada 1 Oktober lalu.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 4 November 2021 dalam sebuah majlis tertutup di Janda Baik, Pahang, dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button