UPTM angkat tema SDG pada Konvokesyen Ke-3, lahirkan graduan lestari, berdaya saing
KUALA LUMPUR – Bertemakan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), penganjuran Majlis Konvokesyen Ke-3 Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) mencatat sejarah tersendiri selari dengan komitmen universiti melahirkan graduan holistik, berdaya saing dan berkeupayaan menyumbang kepada masyarakat serta kelestarian negara.
Naib Canselor UPTM, Prof Dr Sharifah Syahirah Sy Shiekh berkata, konvokesyen kali ini bukan sahaja diraikan dalam suasana ceria dan meriah, malah menjadi simbol penyatuan warga universiti serta graduan ke arah kerjasama strategik yang lebih luas.

“Alhamdulillah, konvokesyen ketiga ini boleh kita sifatkan sebagai konvo yang ceria, meriah dan menyatu padukan hati-hati.
“Ini penting kerana kita sebenarnya sedang menuju ke arah Strategic Partnership for Goals atau SDG 17,” katanya ketika ditemui media.
Menurut beliau, graduan UPTM perlu memperkukuh jaringan profesional dan keupayaan bekerjasama dengan pelbagai pihak bagi mencapai matlamat yang lebih besar, bukan hanya untuk diri sendiri tetapi juga masyarakat dan negara.

“Selepas bergraduasi, para graduan perlu memastikan diri mereka mampu bekerjasama dengan sesiapa sahaja. Inilah asas kepada kelestarian dan kemampanan, bukan sahaja dari sudut kerjaya tetapi juga kehidupan,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan bahawa konsep kelestarian perlu dilihat secara menyeluruh termasuk aspek penjagaan alam sekitar, kesejahteraan insan dan kualiti pendidikan.
“Kalau bumi ini kita tidak jaga, di manakah manusia boleh hidup? Sebab itu, di UPTM, SDG diterapkan dalam semua aspek termasuk kualiti pendidikan, kesejahteraan atau wellbeing, kebajikan dan kesihatan warga universiti,” katanya.

Dr Sharifah Syahirah menambah, aspek wellbeing merangkumi keupayaan insan untuk saling bekerjasama, membantu dan memahami antara satu sama lain sekali gus membentuk kesejahteraan individu dan komuniti yang mampan.
Mengulas penerapan SDG dalam kalangan pelajar, beliau berkata, 17 matlamat SDG bukan sesuatu yang rumit kerana ia mencerminkan keperluan asas manusia.
“Kelestarian pekerjaan, kewangan, persahabatan, kerjasama dan perpaduan negara semuanya terkandung dalam SDG.
“Saya berharap graduan UPTM bukan sahaja bijak dan profesional tetapi menjadi insan luar biasa yang menyayangi negara, memberi manfaat kepada orang lain dan menjadi ‘cahaya’ dalam masyarakat serta tempat kerja,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UPTM, Prof Madya Dr Syamsul Fozy Osman berkata, sehingga kini UPTM mempunyai kira-kira 16,000 alumni jika mengambil kira sejarah institusi sejak peringkat kolej, manakala bagi tempoh tiga tahun sebagai universiti, seramai 6,000 hingga 7,000 alumni telah dilahirkan.
“Alhamdulillah, prestasi alumni UPTM amat memberangsangkan. Kadar kebolehpasaran graduan kita mencecah 93 peratus dan ini merupakan indikator permulaan yang baik untuk mereka terus berkembang dalam kerjaya,” katanya.

Beliau berkata, ramai alumni UPTM kini berjaya mencipta perubahan ketara dalam kehidupan, termasuk menjadi eksekutif dan pengasas syarikat sendiri selepas memulakan kerjaya sebagai graduan baharu.
“Alumni kini dipanggil kembali ke kampus untuk berkongsi pengetahuan, pengalaman dan keyakinan kepada adik-adik mereka, selain menjadi sebahagian daripada ekosistem universiti,” katanya.
Menurut Dr Syamsul Fozy, antara program utama yang dilaksanakan tahun ini ialah Eco Heritage Challenge yang melibatkan alumni, pelajar tempatan dan antarabangsa dalam aktiviti berteraskan alam sekitar dan kemasyarakatan.
“Program ini selari dengan hasrat universiti dalam menerapkan SDG, bukan sekadar melalui kempen visual tetapi juga aktiviti kokurikulum yang memberi manfaat dan kesedaran kepada warga UPTM,” jelasnya.
Mengulas mengenai penerbitan video alumni UPTM 2025, beliau berkata, penghasilan video tersebut melibatkan dua peringkat utama iaitu perancangan oleh pelajar dan warga universiti, serta sokongan teknikal daripada Fakulti Pengkomputeran dan Multimedia (FCOM) bersama pihak luar.

“Keseluruhan idea, perancangan dan penggarapan asal video bermula daripada warga UPTM sendiri. Ini mencerminkan semangat kebersamaan dan keupayaan pelajar serta staf kita,” katanya.
Pada konvokesyen yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur itu, seramai 2,075 graduan menerima skrol masing-masing di peringkat Diploma, Diploma Pasca Siswazah, Profesional, Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana dan Ijazah kedoktoran.
Daripada jumlah tersebut seramai 120 graduan merupakan penerima anugerah pada majlis berprestij itu.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Maskot UPTM-Amzy (Amazing UPTM) iaitu Stinger – lebah yang diinspirasikan daripada logo Hexagon UPTM seperti sarang lebah.
Ia melambangkan ketekunan dan daya usaha warga kerja UPTM dalam membangunkan modal insan (pelajar) ke arah insan yang Amazing. Lebah juga adalah simbolik kepada nilai komuniti dan kerjasama.
Selain itu, penyanyi terkenal, Elly Mazlein atau Kak Lina Pom Pom berjaya menghiburkan para graduan, ibu bapa serta tetamu kehormat dengan gaya persembahannya yang bersahaja namun penuh profesional.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








