BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Pakar bius racun pesakit kerana konflik rakan setugas dihukum penjara seumur hidup

BESANCON, PERANCIS – Konflik dengan rakan setugas menjadi punca seorang doktor bertindak di luar batas kemanusiaan apabila didapati meracun pesakit, termasuk kanak-kanak, semata-mata untuk menjatuhkan reputasi kakitangan perubatan lain.

Mahkamah di sini pada Khamis menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas pakar bius, Frederic Pechier, 53, selepas didapati bersalah meracun 30 pesakit kanak-kanak dan dewasa antara tahun 2008 hingga 2017.

Pendakwaan membuktikan Pechier yang bertugas di dua klinik di Besancon bertindak mencemarkan rawatan pesakit yang berada di bawah jagaan rakan sekerjanya, menyebabkan mangsa mengalami serangan jantung dalam keadaan mencurigakan. Daripada jumlah itu, 12 pesakit meninggal dunia.

Menurut mahkamah, perbuatan tertuduh didorong oleh konflik berpanjangan dengan kakitangan setugas serta keinginan untuk memburukkan reputasi mereka, selain memenuhi keghairahannya terhadap kuasa.

Mangsa termuda ialah seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun, Teddy, yang terselamat daripada dua serangan jantung ketika menjalani pembedahan tonsil rutin pada 2016, manakala mangsa tertua berusia 89 tahun.

“Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjarakan serta-merta,” kata Hakim Delphine Thibierge ketika menjatuhkan hukuman.

Sepanjang perbicaraan, Pechier menafikan sebarang salah laku dan kelihatan tenang tanpa menunjukkan sebarang reaksi, meskipun perbuatannya digambarkan pendakwa raya sebagai penyalahgunaan ilmu perubatan untuk membunuh.

Pendakwaan mendedahkan tertuduh mencemarkan beg infusi intravena (IV) dengan bahan berbahaya termasuk kalium, ubat bius tempatan, adrenalin dan antikoagulan, bagi mencetuskan serangan jantung atau pendarahan terhadap pesakit yang dirawat oleh rakan sekerjanya.

Siasatan kes berkenaan dilancarkan pada 2017 selepas beberapa kes serangan jantung luar biasa direkodkan melibatkan pesakit berisiko rendah yang sedang menjalani pembedahan rutin.

Peguam bela Pechier, Ornella Spatafora, memaklumkan pihaknya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah.

Pendakwa raya menyifatkan kes itu sebagai antara jenayah paling serius dalam dunia perubatan, apabila seorang doktor mengkhianati amanah profesyen demi dendam peribadi terhadap rakan setugasnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button