Kampung Sungai Mati nikmati manfaat projek MADANI
MATANG — Penduduk Kampung Sungai Mati hari ini menerima pelbagai manfaat hasil pelaksanaan inisiatif Kampung Angkat MADANI apabila Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) melancarkan program itu di sini.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Ketua Pengarah J-KOM, Datuk Ismail Yusop dan dihadiri kira-kira 800 penduduk serta wakil agensi pelaksana dan rakan strategik.
Ismail berkata, inisiatif ini bertujuan memperkukuh nilai Ihsan dan memperkasa pembangunan seimbang antara bandar dan luar bandar, sejajar dengan aspirasi Perdana Menteri.

“Projek ini dilaksanakan melalui kerjasama Pejabat Tanah dan Daerah Larut, Matang dan Selama sebagai agensi pelaksana, manakala Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri bertindak sebagai penyelaras,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sepanjang tahun ini, J-KOM telah menyiapkan beberapa projek fizikal termasuk kerja penyelenggaraan jalan kampung dan tanah perkuburan Islam, pembinaan longkang, pemasangan lampu solar, penyelenggaraan surau dan dewan kampung, penambahbaikan ruang niaga serta pembinaan tembok mercu tanda dan papan tanda.
Selain pelancaran, penduduk dan orang ramai turut menikmati pelbagai aktiviti menarik termasuk jualan Rahmah, penukaran minyak hitam percuma untuk motosikal, perkhidmatan Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Pengangkutan Jalan, saringan kesihatan percuma, pameran Agensi Anti Dadah Kebangsaan serta taklimat Internet Selamat oleh Pusat Sebaran Maklumat Nasional.
Ismail turut berkata, pendekatan ini memastikan manfaat kerajaan sampai terus kepada rakyat melalui pelaksanaan projek infrastruktur dan pembangunan fizikal yang lebih cepat dan telus.
‘Inisiatif berkenaan juga diharapkan dapat mengurangkan birokrasi yang melambatkan proses kelulusan pembangunan di peringkat kampung,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








