Pelancongan perubatan Malaysia disasar sumbang RM3 bilion pendapatan tahun ini
KUALA LUMPUR – Malaysia menyasarkan pendapatan RM3 bilion daripada sektor pelancongan perubatan pada tahun ini menerusi kehadiran lebih 2.5 juta pelancong kesihatan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, sasaran itu realistik memandangkan nilai pelancongan perubatan negara telah mencecah RM2.79 bilion pada 2024 dan dijangka terus meningkat dengan kurang sebulan sebelum 2025 berakhir.
Beliau berkata, pertumbuhan pesat sektor itu disokong oleh pelaksanaan inisiatif Tahun Pelancongan Perubatan Malaysia (MYMT2026) yang dijangka menarik lebih ramai pelawat kesihatan dari seluruh dunia.
“Pada tahun 2025, sasaran kami adalah untuk meningkatkan keuntungan kita ke RM3 bilion dengan anggaran pelancong yang lebih ramai, iaitu 2.5 juta pelawat. Jadi, ini adalah satu sasaran kami,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Anugerah Flagship Medical Tourism Hospital (FMTH) 2025 di ibu negara hari ini.
Majlis itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Healthcare Travel Council (MHTC), Surighandi Suppiah serta Duta Jenama Malaysia Year of Medical Tourism (MYMT) 2026, Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Pada majlis tersebut, Island Hospital, Pulau Pinang, dinobatkan sebagai penerima Anugerah Flagship Medical Tourism Hospital 2025 atas kecemerlangan dalam perkhidmatan perubatan, keunggulan servis dan kekuatan jenama bertaraf antarabangsa.
Tiga lagi hospital tersenarai sebagai finalis ialah Institut Jantung Negara (IJN), Mahkota Medical Centre, Melaka dan Subang Jaya Medical Centre.
Dalam ucapannya, Dr. Dzulkefly menegaskan peranan penting MHTC dalam memperkasa industri pelancongan kesihatan, terutama sebagai pemacu daya saing ekonomi negara.
“Sektor pelancongan perubatan kekal sebagai tonggak penting kepada ketahanan ekonomi jangka panjang Malaysia serta menjadi penyumbang utama kepada reputasi global negara dalam aspek kualiti penjagaan kesihatan.
“Melalui inisiatif FMTH, kita telah memperkukuhkan kedudukan negara sebagai destinasi pilihan bagi rawatan perubatan, kesihatan dan pemulihan bertaraf dunia,” katanya.
Beliau berkata, sektor itu bukan sahaja meningkatkan aliran pelaburan antarabangsa, malah mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi selain menyokong pembangunan industri berkaitan seperti farmaseutikal, hospitaliti dan teknologi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








