POLITIK

Sanusi akui sudah maaf Saifuddin, lawan politik

ALOR SETAR – Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor membuat permohonan maaf secara terbuka kepada semua pihak dan memaafkan semua lawan politiknya sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini.

Beliau berbuat demikian dalam ucapan pada Himpunan Mandat Rakyat di Kompleks Pas Kedah, malam semalam dan menyeru semua pihak tanpa mengira latar belakang politik supaya menjalinkan semula persaudaraan dan menghentikan permusuhan.

“Saya mewakili seluruh jentera Perikatan Nasional memohon ampun dan maaf kepada seluruh rakyat Kedah dan rakyat negeri lain yang ada terluka, terguris hati di atas kempen yang kami jalankan.

“Ada yang kami tak sengaja, ada yang kami terpaksa, ada yang kami diprovokasi, ada ketikanya kami terlalu sakit untuk menahannya maka kami lepaskan supaya kamu turut rasa apa yang kami rasa,” katanya.

Sanusi berkata, di atas nama ukhwah Islamiah dan sikap baik yang ditonjolkan oleh guru-guru agama, beliau mewakili seluruh jentera PN memohon maaf sepanjang kempen PRN lalu.

“Di atas kekasaran dan tingkah laku kami orang-orang Kedah di semua saluran media yang ada, pentas ceramah, jika ada terluka hati kami memohon ampun dan maaf dan kami hulurkan salam persahabatan.

“Bagi pihak diri saya, Muhammad Sanusi Md Nor yang telah diserang bertubi-tubi, bertalu-talu tanpa henti, depan dan belakang, atas bawah, kiri kanan dengan bermacam fitnah dan serangan, saya maafkan semua serangan itu.

Dalam ucapannya itu, Sanusi berkata telah memaafkan segala dakwaan dan tuduhan yang dibuat oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution terhadap dirinya.

“Tuan-tuan yang tersakiti, kalau tuan-tuan boleh maafkan, boleh lafazkan sendiri, yang ini saya tidak boleh wakil sebab mungkin tuan-tuan tak maafkan Pudin (Saifuddin).

“Itu saya tidak tahu. Bagi pihak saya saya maafkan. Tapi Kalau dia buat lagi, kita lawan lagi. Lepas itu tengok nak maafkan atau nak renyok (lawan),” katanya.

Persengketaan Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah dengan Saifuddin berkaitan dakwaan Sanusi terlibat dalam kecurian sumber nadir bumi (REE) di Kedah menjadi topik berbualan hangat beberapa minggu sebelum PRN.

Semalam, Ahli Dewan Undangan Jeneri itu dilantik semula menjadi Menteri Besar Kedah selepas kemenangan 33 daripada 36 kerusi yang dipertandingkan di negeri ini.

Sanusi mempertahankan kerusi disandangnya selepas menewaskan calon BArisan Nasional, Datuk Muhamad Khizri Abu Kasim dengan majoriti 16,050 undi.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button