Cuaca panas: Lebih 2,700 tangkapan ular masuk kawasan kediaman
ALOR SETAR – Cuaca panas melampau sejak awal tahun ini mencetuskan peningkatan ketara kes kemunculan ular di kawasan kediaman apabila lebih 2,700 tangkapan direkodkan di seluruh Kedah.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Kedah, Leftenan Kolonel Mohd Bukhori Mat Sidik berkata, peningkatan itu berpunca daripada keadaan cuaca ekstrem yang memaksa reptilia berkenaan keluar dari habitat asal untuk mencari tempat lebih sejuk dan lembap.
Menurutnya, kediaman manusia menjadi lokasi utama perlindungan, terutama ketika suhu tinggi atau perubahan cuaca.
“Ketika musim panas, ular akan mencari kawasan teduh seperti enjin atau bawah kenderaan, longgokan sampah, saluran air, dalam kasut dan lubang tandas,” katanya memetik laporan Metro Online.
Beliau berkata, sebanyak 793 kes tangkapan direkodkan pada Januari, diikuti 816 kes pada Februari dan 785 kes pada Mac, manakala setakat bulan ini sebanyak 322 kes dilaporkan.
Daerah Kuala Muda mencatatkan kes tertinggi iaitu 477 tangkapan, diikuti Kota Setar (470 kes), Kulim (326 kes), Kubang Pasu (322 kes) dan Baling (280 kes).
Antara spesies yang kerap ditemui termasuk ular sawa batik, tedung selar dan tedung senduk.
Mohd Bukhori berkata, antara cabaran utama operasi ialah lokasi ular yang sering bersembunyi di ruang sempit seperti siling rumah, rak barangan dan bawah kenderaan.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya memastikan persekitaran rumah sentiasa bersih, menghapuskan longgokan barangan tidak digunakan serta berhati-hati termasuk memeriksa kasut sebelum dipakai bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








