Kedah mula terima hujan, akhiri cuaca panas berpanjangan
ALOR SETAR – Beberapa daerah di Kedah mula menerima hujan pada petang ini selepas negeri itu dilanda cuaca panas berpanjangan sejak beberapa bulan lalu.
Pengarah Pejabat Meteorologi Kedah, Muhammad Khalil Abdul Aziz berkata, hampir semua daerah dijangka menerima hujan atau ribut petir, kecuali Langkawi dan Bandar Baharu.
Menurutnya, keadaan itu selari dengan fasa peralihan monsun yang lazimnya membawa hujan pada sebelah petang.
“Ada beberapa kawasan dan daerah sudah menerima hujan hari ini seperti diramalkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia.
“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa peka terhadap perubahan cuaca dan merujuk laman web atau media sosial MetMalaysia bagi mendapatkan maklumat terkini,” memetik BuletinTv3 online.
Sebelum itu, beberapa kawasan termasuk Kota Setar dilaporkan mengalami cuaca panas tahap dua (gelombang haba) selain tidak menerima hujan dalam tempoh lebih sebulan.
Perubahan cuaca itu dijangka memberi kelegaan kepada penduduk selepas berdepan suhu tinggi yang berpanjangan, selain membantu mengurangkan risiko kebakaran terbuka dan gangguan bekalan air di kawasan terjejas.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








