Polis sedang kenal pasti individu akibatkan kematian pelatih PALAPES
KUALA LUMPUR – Polis sedang mengenal pasti individu yang bertanggungjawab menyebabkan kematian pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES), Syamsul Haris Shamsudin, pada 28 Julai lalu.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar S Muthuvelu, siasatan kes berkenaan kini sedang diteruskan bagi mengenal pasti individu terbabit.
“Selepas hasil siasatan diperoleh, kertas siasatan akan dirujuk semula ke Jabatan Peguam Negara untuk arahan, selari dengan peruntukan Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.
“Masyarakat diingatkan tidak membuat apa-apa spekulasi terhadap kes ini sementara PDRM melengkapkan siasatan dan demi menghormati prinsip keadilan jenayah di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Jabatan Peguam Negara mengarahkan kes kematian kadet itu disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh.
Kematian Syamsul Haris diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) pada awalnya,
namun, pada 19 Ogos lalu, ibu Allahyarham, Ummu Haiman Bee Daulatgun memohon penggalian semula kubur bagi membolehkan bedah siasat kedua dijalankan.
Mahkamah membenarkan permohonan tersebut dan bedah siasat kedua dilaksanakan pada akhir Ogos lalu.
Susulan itu, Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman mengambil alih sepenuhnya siasatan kes berkenaan.
Minggu lalu, peguam keluarga mangsa mendedahkan hasil bedah siasat kedua mendapati kematian Allahyarham berpunca daripada kecederaan pada leher, selain beberapa kecederaan lain termasuk melecet yang ditemui pada jasad Allahyarham semasa proses bedah siasat pada 30 Ogos lalu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |













