LHDN tetap had tempoh kelulusan maksimum 10 tahun bagi IOT
CYBERJAYA – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memaklumkan bahawa tempoh kelulusan bagi layanan cukai ke atas Institusi, Organisasi dan Tabung (IOT) di bawah subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967) kini ditetapkan maksimum 10 tahun.
Peraturan itu berkuat kuasa mulai 27 November 2025.
Menurut LHDN, antara manfaat cukai bagi IOT yang diluluskan termasuk tolakan cukai ke atas derma atau sumbangan yang diberikan iaitu terhad kepada 10 peratus daripada pendapatan agregat individu atau syarikat serta pengecualian cukai ke atas semua pendapatan yang diterima oleh IOT sepanjang tempoh kelulusan berkuat kuasa.
“Bagi mana-mana IOT yang kelulusannya dijangka tamat pada 31 Disember 2025, pihak LHDN akan mengeluarkan surat pemakluman baharu bagi menjelaskan pemakaian tempoh kelulusan 10 tahun.
“Sementara itu, bagi IOT yang telah menerima kelulusan baharu atau lanjutan sebelum 27 November 2025, tempoh yang tertera pada kelulusan tersebut kekal manakala tempoh 10 tahun akan dipertimbangkan selepas tempoh kelulusan sedia ada tamat,” kata LHDN dalam kenyataan hari ini.
LHDN menekankan bahawa semakan pematuhan syarat kelulusan akan dijalankan secara menyeluruh sepanjang tempoh kelulusan termasuk mengambil kira tempoh penyimpanan dokumen sebagaimana diperuntukkan di bawah ACP 1967.
“IOT dikehendaki memastikan pematuhan penuh terhadap semua syarat kelulusan kerana sebarang pelanggaran boleh mengakibatkan penarikan balik kelulusan dan pendapatan IOT dikenakan cukai di bawah subsubperenggan 13(1)(a) Jadual 6, ACP 1967,” jelasnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















