Lelaki dirakam bersilat di kawasan perkuburan ditahan, positif dadah
KLUANG – Seorang lelaki yang sebelum ini dirakam melakukan pergerakan seperti silat sambil memakai topi keledar di sebuah tanah perkuburan Islam di sini, ditahan semalam.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, lelaki itu ditahan di Jalan Merdeka, Sri Lalang, pukul 1 petang semalam selepas didapati positif dadah jenis methamphetamine.
Tambahnya, suspek kini direman selama tiga hari sehingga 27 Nov bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana penyalahgunaan dadah, yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun.
“Semakan turut mendapati suspek mempunyai empat rekod jenayah dan dadah sebelum ini,” katanya.
Baru-baru ini, tular di media sosial satu video berdurasi 28 saat yang dirakam pengguna jalan raya memaparkan seorang lelaki memakai jaket serta bertopi keledar berdiri di kawasan perkuburan sambil melakukan beberapa gerakan tangan dan kaki seperti bersilat.
Susulan penularan video tersebut, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar dipetik sebagai berkata, Exco Agama negeri, Mohd Fared Mohd Khalid sudah mengambil tindakan awal dan pantas untuk mengarahkan Pejabat Agama Daerah Kluang menjalankan siasatan daripada semua sudut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |




