Wanita buat laporan palsu dakwa disamun demi elak bayar hutang, sewa
KUANTAN – Seorang wanita sanggup membuat laporan polis palsu mendakwa dirinya disamun semalam, hanya kerana mahu mengelak membayar hutang dan sewa rumah.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, suri rumah berusia 57 tahun itu hadir membuat laporan polis di Balai Polis Jaya Gading, di sini, kira-kira pukul 9.40 pagi semalam.
“Berdasarkan laporan diterima, suri rumah itu mendakwa disamun oleh seorang lelaki dan seorang wanita yang menaiki kereta berwarna hitam serta bersenjatakan pemutar skru.
“Wanita itu turut mendakwa wang tunai RM1,500 dan barang kemas miliknya dilarikan suspek dalam kejadian yang dikatakan berlaku berhampiran padang Taman Pandan Damai,” katanya.
Wan Mohd Zahari kemudiannya berkata, siasatan lanjut pihaknya mendapati tiada kejadian samun berlaku.
“Sebaliknya, wanita tersebut membuat laporan palsu atas kepentingan diri sendiri.
“Dia juga berada dalam keadaan waras ketika membuat laporan berkenaan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 187 Kanun Keseksaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |




