Batik Air tawar tambang serendah RM69, umum dua laluan baharu Sabah–Sarawak
KUALA LUMPUR – Batik Air menawarkan tambang serendah RM69 menerusi kempen Family Vacay Starts at Borneo, sekali gus memberi peluang lebih luas kepada rakyat Malaysia untuk melancong ke destinasi terpilih di Sabah dan Sarawak.
Kempen itu dilanjutkan sehingga 30 November 2025 untuk perjalanan sehingga 30 Januari 2026, dan hadir seiring pengumuman dua laluan penerbangan terus baharu iaitu Kota Kinabalu–Kuching (BKI–KCH) dan Kota Kinabalu–Sandakan (BKI–SDK) yang akan bermula pada 15 Disember 2025.
Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air, Datuk Chandran Rama Muthy berkata, tawaran tambang rendah itu diberikan bagi membuka lebih banyak peluang percutian dan perjalanan domestik, selain menggalakkan mobiliti antara Sabah dan Sarawak.
“Tawaran tambang serendah RM69 ini diperkenalkan bagi memberikan nilai terbaik kepada penumpang dan menggalakkan lebih ramai meneroka destinasi di Malaysia Timur.
“Pada masa sama, pengenalan dua laluan terus baharu ini menunjukkan komitmen Batik Air dalam menyokong permintaan perjalanan yang semakin meningkat di Borneo.
“Kota Kinabalu sebagai hab operasi serantau memainkan peranan penting dalam memudahkan pergerakan antara destinasi utama serta meningkatkan keselesaan penumpang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, usaha memperkukuh rangkaian domestik di Malaysia Timur akan membantu merancakkan ekonomi serta sektor pelancongan jangka panjang.
“Dengan memperkukuh hubungan antara bandar-bandar utama, kami ingin membuka lebih banyak peluang dalam sektor perniagaan, pertukaran budaya dan pelancongan.
“Ini seterusnya mengangkat Sabah dan Sarawak sebagai destinasi dinamik untuk semua pelawat,” jelasnya lagi.
Kedua-dua laluan baharu beroperasi tujuh kali seminggu dan dijangka meningkatkan pergerakan pelancong menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026), selain memudahkan perjalanan komuniti setempat.
Batik Air turut mengumumkan perancangan memperkenalkan laluan Kota Kinabalu–Singapura (BKI–SIN) bermula 12 Februari 2026 serta meneruskan perkhidmatan tiga kali seminggu ke Seoul (Incheon), sebagai langkah memperkukuh jaringan antarabangsa dari Malaysia Timur.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








