BERITA SEMASA

Malaysia nasihat rakyat tangguh perjalanan ke Vietnam, Thailand susulan banjir

KOTA BELUD – Rakyat Malaysia dinasihat menangguhkan perjalanan ke Vietnam dan Thailand berikutan banjir teruk yang melanda beberapa kawasan di kedua-dua negara.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, situasi di Vietnam amat membimbangkan, terutamanya di kawasan pedalaman dan tanah tinggi yang terjejas teruk akibat hujan lebat dan arus banjir deras, sekali gus mengakibatkan banyak kemalangan.

“Saya menerima laporan setiap jam daripada Konsulat kita di Ho Chi Minh dan juga Kedutaan Malaysia di Hanoi mengenai perkembangan semasa.

“Pada jam 11 pagi tadi, saya menerima laporan daripada Konsul Jeneral di Ho Chi Minh City,” memetik laporan MalayMail.

Mohamad berkata, kawasan banjir paling teruk di Vietnam adalah pedalaman dan tengah negara, termasuk tanah tinggi seperti Dak Lak, Lai Dong dan Gia Lai.

Beliau juga memaklumkan akan menghubungi rakan sejawatnya, Le Hoai Trung, bagi menyelaras sebarang keperluan serta bekerjasama dengan Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan ASEAN (AHA Centre) di Jakarta jika bantuan segera diperlukan.

“Sehingga jam 11 pagi tadi, tiada rakyat Malaysia dilaporkan terjejas akibat banjir di Vietnam,” katanya.

Mohamad turut menasihatkan rakyat Malaysia menangguhkan perjalanan ke Thailand, khususnya Hatyai yang sekali lagi dilanda banjir akibat hujan berterusan.

“Saya menyeru mereka yang merancang perjalanan dan telah membuat persiapan untuk memasuki Thailand agar membatalkan rancangan kerana cuaca tidak menentu,” katanya lagi.

Beliau turut berkata, lebih 13,000 rakyat Malaysia telah melalui Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bukit Kayu Hitam dan Padang Besar dalam tempoh tiga hari lepas.

“Mereka yang dipindahkan ditempatkan di Kem Infantri Ke-5 Senanarong di luar Hatyai, menuju Songkhla, atau di 12 pusat pemindahan sementara lain yang disediakan pihak berkuasa tempatan,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button