AGAMABERITA SEMASA

Hajah Asmah dijangka tiba di tanah air malam ini

KUALA LUMPUR – Jemaah haji Malaysia, Asmah Mansor, 71, yang berdepan masalah kesihatan ketika menunaikan ibadah di Tanah Suci pada September lalu, dijangka tiba di tanah air malam ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, proses membawa pulang Asmah kini berada pada peringkat akhir selepas penyelarasan dengan pelbagai pihak oleh Tabung Haji.

“Hajah Asmah dijangka tiba di Malaysia pada malam ini tertakluk kepada koordinasi akhir melibatkan urusan penerbangan, dokumentasi serta pengesahan kesihatan dengan pihak berkuasa berkaitan termasuk agensi berautoriti di Arab Saudi,” katanya dalam kenyataan di media sosial hari ini.

Beliau turut berharap agar semua urusan berkenaan dipermudahkan supaya kepulangan Asmah ke tanah air berjalan lancar.

“Saya memohon seluruh rakyat Malaysia untuk terus mendoakan supaya misi ini dipermudah,” ujarnya.

Dalam masa sama, Mohd Na’im merakamkan penghargaan kepada rakyat Malaysia atas keprihatinan, sokongan dan sumbangan termasuk wang tunai yang dihulurkan bagi membantu keluarga jemaah haji itu.

“Keprihatinan rakyat mencerminkan semangat persaudaraan dan kasih sayang sesama umat yang sangat terpuji,” katanya lagi.

Tambah beliau, maklumat lanjut dan perkembangan seterusnya akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Terdahulu, media melaporkan kutipan Tabung Musaadah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Yayasan Waqaf Malaysia mencapai sasaran dan ditutup serta-merta pada 17 November lalu untuk membawa pulang Asmah ke Malaysia.

Mohd Na’im berkata, sumbangan rakyat Malaysia yang luar biasa dalam masa singkat membolehkan tabung itu mengumpulkan sebanyak RM372,222.66.

Asmah sebelum ini dilaporkan bertarung nyawa akibat pneumonia dan perlu bergantung pada alat bantuan pernafasan.

Difahamkan, wanita itu sempat menyempurnakan ibadah haji sebelum keadaan kesihatannya merosot secara mendadak dan dia merupakan jemaah terakhir musim haji 1446H yang masih berada di Saudi German Hospital di Mekah sejak 13 September lalu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button