AGAMABERITA SEMASA

Jemaah haji Malaysia yang lama terlantar di ICU Mekah bakal dibawa pulang

KUALA LUMPUR – Jemaah haji Malaysia, Asmah Mansor, 71, yang sekian lama dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Saudi German Hospital di Mekah akibat pneumonia akhirnya dijadualkan dibawa pulang ke tanah air dalam masa terdekat selepas usaha mengumpul dana bagi menampung kos pemindahannya mencapai sasaran.

Perkara itu dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menerusi satu hantaran di Facebook.

Mohd Na’im turut berkongsi rakaman video beliau yang membuat panggilan kepada Asmah.

“Malam tadi saya sendiri menghubungi Hajah Asmah, satu-satunya jemaah haji Malaysia yang masih berada di Mekah kerana menerima rawatan di Hospital Saudi German melalui panggilan video,” katanya.

Dalam panggilan itu, Mohd Na’im menyampaikan berita gembira bahawa Asmah bakal dibawa pulang tidak lama lagi.

“Mak cik, saya ada berita baik. Insya-Allah kita dah boleh bawa pulang mak cik dalam masa terdekat,” katanya kepada Asmah dalam video tersebut.

Hajah Asmah Mansor
Asmah akan dibawa pulang ke Malaysia dalam waktu terdekat.

Menurut beliau, kutipan Tabung Musa’adah JAKIM–Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) kini mencukupi untuk menampung kesemua urusan penerbangan dan perpindahan pesakit.

“Dalam masa seminggu selepas saya pulang ke Malaysia, kita sudah berjaya kutip sumbangan yang diperlukan,” jelasnya.

Beliau turut menyifatkan suara Asmah dalam perbualan itu sebagai sebak namun tetap kuat.

“Seorang ibu tabah, tidak pernah menyangka rakyat Malaysia yang tidak pernah mengenalinya secara peribadi turut sama mendoakan, menyumbang dan mengambil berat tentang nasibnya,” katanya lagi.

Mohd Na’im turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua penyumbang, termasuk badan korporat, institusi agama dan orang ramai.

“Terima kasih kepada semua penyumbang demi memastikan seorang jemaah haji dapat kembali ke pangkuan keluarga. Semoga Allah mempermudah segala urusan dan mengangkat kesembuhan buat Hajah Asmah,” katanya.

Sebelum ini, kos membawa pulang Asmah dianggarkan kira-kira RM500,000 setelah beliau disahkan menghidap pneumonia dan dirawat di ICU sejak 13 September lalu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button