BERITA SEMASADALAM NEGERI

E-Invois terima maklum balas positif, meski masih di peringkat awal

KUALA LUMPUR – Tahap penerimaan dan pematuhan pembayar cukai terhadap pelaksanaan e-Invois amat memuaskan, meskipun sistem yang diperkenalkan oleh kerajaan itu masih di peringkat awal.

Menurut Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying, sistem berkenaan dijalankan secara berfasa bagi meningkatkan kecekapan pengurusan pentadbiran percukaian negara dalam usaha menyokong pertumbuhan ekonomi digital.

Beliau berkata, pelaksanaan inisiatif itu selaras strategi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang memberi pelbagai manfaat kepada perniagaan sekali gus meningkatkan kecekapan dan melancarkan operasinya.

“E-Invois bermanfaat mengurangkan proses manual dan kesilapan, memudahkan pengemukaan borang nyata cukai, mendigitalkan pelaporan percukaian dan secara tidak langsung meningkatkan pematuhan cukai

“Keberkesanan sistem ini hanya boleh ditentukan selepas pelaksanaan mandatori sepenuhnya dan ketika ini, kerajaan memberi tempoh peralihan selama enam bulan kepada perniagaan untuk membuat persediaan.

“Meskipun masih di peringkat awal, tahap penerimaan dan pematuhan pembayar cukai terhadap pelaksanaan e-Invois amat baik. Ini dapat dilihat di mana sehingga 21 November lalu, seramai 108,000 pembayar cukai telah melaksanakan e-Invois.

“Daripada jumlah itu, seramai 64,317 pembayar cukai melaksanakan e-Invois secara mandatori terdiri 5,528 pembayar cukai bagi fasa pertama, 13,964 bagi fasa kedua dan 44,825 bagi fasa ketiga,” katanya menjawab soalan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Tambah Hui Ying, sejumlah 44,000 pembayar cukai dari fasa keempat dan kelima melaksanakan e-Invois secara sukarela dengan sehingga kini, sebanyak 735 juta e-Invois berjaya dikeluarkan.

Dalam pada itu, kerajaan memperkenalkan fasa pelaksanaan e-Invois kepada perniagaan yang mempunyai jualan tahunan di bawah RM5 juta dengan fasa keempat mulai 1 Januari 2026 yang membabitkan perniagaan dengan jualan tahunan melebihi RM1 juta sehingga RM5 juta

Ia diikuti fasa kelima mulai 1 Julai 2026 yang membabitkan perniagaan dengan jualan tahunan melebihi RM500,000 sehingga RM1 juta bagi membantu perniagaan terutama perusahaan modal kecil dan sederhana (PMKS) yang memerlukan tempoh persediaan secukupnya.

“Peniaga kecil yang mempunyai jualan tahunan di bawah RM500,000 dikecualikan daripada pelaksanaan e-Invois. Pengecualian ini memberi manfaat kepada peniaga kecil yang tidak perlu menanggung kos tambahan untuk mendapatkan kemahiran teknikal bagi melaksanakan e-Invois.

“Walaupun diberi pengecualian ini, kerajaan amat menggalakkan pembabitan peniaga kecil dalam inisiatif e-Invois selaras dengan aspirasi ke arah pendigitalan perniagaan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button