BERITA SEMASA

Lebih 2.9 juta rakyat manfaat SARA, belanja RM192.4 juta dalam tiga hari

KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan lebih 2.9 juta rakyat sudah menggunakan kredit Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dengan jumlah perbelanjaan mencecah RM192.4 juta di seluruh negara hanya dalam tempoh tiga hari.

Menurut kenyataan MOF, hari ketiga pelaksanaan inisiatif itu semalam mencatatkan rekod tertinggi dengan lebih 1.1 juta transaksi bernilai RM75.3 juta berjaya disempurnakan setakat jam 10.30 malam.

“Kadar transaksi berjaya juga meningkat kepada 95 peratus semalam berbanding 79 peratus pada hari pertama, 31 Ogos lalu. Sistem MyKasih merekodkan lonjakan trafik dengan lebih 2,000 transaksi diluluskan seminit berbanding rekod tertinggi sebelum ini iaitu sekitar 540 transaksi seminit pada April 2025,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagi memastikan kelancaran proses, kapasiti pemprosesan sistem ditingkatkan daripada 5,000 kepada 15,000 kuiri seminit. Setiap transaksi melibatkan beberapa proses termasuk imbasan MyKad, bacaan barangan dan pengesahan akhir.

MOF menegaskan langkah itu akan mempercepatkan urusan pembayaran di kaunter sekali gus memberi keselesaan kepada penerima bantuan.

“Kementerian menghargai sambutan menggalakkan daripada penerima dan maklum balas orang ramai akan terus dijadikan rujukan untuk menambah baik sistem agar lebih cekap serta mesra pengguna,” menurut kenyataan itu lagi.

Kredit bernilai RM100 bagi Penghargaan SARA boleh digunakan hingga 31 Disember 2025 di lebih 7,300 premis runcit berdaftar di seluruh negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button