Wanita maut kenderaan dihanyutkan kepala air
GUA MUSANG – Seorang wanita maut selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki bersama dua rakan lain dihanyutkan kepala air di Jambatan Nombor Dua, Kampung Pulai, Khamis lepas.
Menurut Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choo Foo, pihaknya menerima laporan kejadian itu pukul 10.30 malam di hari kejadian.
Berdasarkan maklumat, sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux yang dinaiki seorang lelaki warga tempatan dan seorang wanita warga Thailand serta mangsa yang merupakan warga Indonesia dihanyutkan arus ketika dalam perjalanan ke Ladang KLC.
“Ketika melalui kawasan berkenaan sekitar pukul 8.30 malam, kepala air secara tiba-tiba turun sebelum menghanyutkan kenderaan mereka.
“Lelaki dan wanita warga Thailand itu berjaya menyelamatkan diri, namun mangsa dipercayai hilang dibawa arus,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau kemudian memberitahu, jasad mangsa ditemukan penduduk sekitar pukul 4.15 pagi Jumaat di tebing sungai kira-kira satu kilometer dari lokasi kenderaan itu hanyut dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia.
Jasad mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Gua Musang dan hasil bedah siasat mendapati punca kematian ialah lemas.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi serta menghormati privasi keluarga mangsa.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








