BERITA SEMASAKEMENTERIAN KOMUNIKASI

MCMC NEXUS rangkul Anugerah Digital Inclusion

KUALA LUMPUR – Usaha kerajaan memperkasa rakyat dengan akses maklumat telekomunikasi yang telus terus mendapat pengiktirafan apabila aplikasi mudah alih MCMC NEXUS meraih Digital Inclusion Award (Special Mention) pada Malaysia Digital Transformation Awards 2025.

Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), MCMC NEXUS merupakan aplikasi mesra pengguna yang membolehkan orang ramai menyemak tahap kualiti perkhidmatan Internet selain menyediakan pandangan masa nyata berasaskan data orang ramai untuk membantu pengguna memahami pengalaman capaian mereka.

Jelas MCMC, data yang dikumpul melalui aplikasi itu turut membantu MCMC dan penyedia perkhidmatan mengenal pasti kawasan yang memerlukan penambahbaikan, menyokong usaha meningkatkan kesalinghubungan digital negara secara lebih tersasar dan berkesan.

“Pengguna boleh menguji pengalaman mereka di rangkaian 4G, 5G dan Wi-Fi melalui aplikasi berkenaan yang mengukur beberapa metrik utama antaranya kelajuan muat turun dan muat naik, ping serta jitter.

“Keputusan ujian yang berada di bawah piawaian Mandatori Standard for the Quality of Service (MSQoS) akan dihantar hampir masa nyata kepada MCMC dan penyedia perkhidmatan masing-masing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, pengiktirafan itu diumumkan semasa GovInsider Live MY.AI Day, sekali gus mengangkat peranan aplikasi tersebut dalam membantu rakyat menilai kualiti perkhidmatan Internet mereka secara lebih mudah, tepat dan telus.

Menurut MCMC lagi, ujian pengalaman data pula menilai pengalaman pengguna semasa melayari Internet termasuk aktiviti seperti pelayaran web dan permainan dalam talian.

Katanya, integrasi aplikasi itu dengan JENDELA Map turut mengukuhkan fungsinya sebagai pelengkap praktikal kepada inisiatif peluasan capaian digital negara.

“Pengiktirafan tersebut sekali lagi menegaskan kepentingan memastikan semua rakyat Malaysia tanpa mengira lokasi, pendapatan atau latar belakang mendapat akses saksama kepada perkhidmatan digital penting,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button