POLITIK

Hina ulama: Pemuda PAS Selangor serah memorandum bantah tindakan Ketua Pemuda DAP

KUALA LUMPUR – Pemuda PAS Selangor menyerahkan satu memorandum bantahan di Ibu Pejabat DAP susulan tindakan Ketua Pemuda DAP, Woo Kah Leong, yang didakwa memuat naik poster berunsur penghinaan terhadap ulama dan pimpinan utama PAS di media sosial.

Ketua Pemuda PAS Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata, tindakan itu bukan sahaja menjatuhkan martabat ulama, malah mencerminkan budaya politik yang tidak bermaruah dan tidak melambangkan kematangan politik generasi muda.

Hina ulama: Pemuda PAS Selangor serah memorandum bantah tindakan Ketua Pemuda DAP
Ketua Pemuda Pas Selangor menyerahkan Memorandum kepada petugas di Ibupejabat DAP hari ini

Menurutnya, perbuatan tersebut turut menimbulkan kemarahan serta keresahan dalam kalangan masyarakat kerana ia memperlihatkan politik fitnah dan penghinaan yang semakin menular, terutama menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah, katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, politik berasaskan provokasi murahan hanya akan merosakkan budaya politik negara serta menjejaskan persepsi rakyat terhadap institusi politik.

“Generasi muda yang terdedah kepada budaya politik sedemikian berisiko menganggap penghinaan dan maki hamun sebagai sesuatu yang normal, sedangkan ia bercanggah dengan nilai ketamadunan dan kemanusiaan,” katanya lagi.

Sukri turut menekankan bahawa PAS melalui konsep Budaya Politik Matang & Sejahtera (BPMS) telah lama menggariskan pendekatan politik yang berasaskan hujah dan fakta, mengutamakan kepentingan rakyat serta menolak budaya kebencian.

Beliau berkata, tindakan Ketua Pemuda DAP jelas bercanggah dengan nilai tersebut dan menunjukkan kegagalan menjaga adab dalam berpolitik.

Memorandum itu antara lain menzahirkan kekecewaan serta mengecam tindakan Woo, selain menuntut beliau memohon maaf secara terbuka dan menarik balik kandungan yang dimuat naik.

Pemuda PAS Selangor turut menggesa Pemuda DAP melakukan muhasabah terhadap hala tuju politik mereka, selain menyatakan kesediaan untuk memberi penjelasan mengenai BPMS sebagai usaha mendidik pemimpin muda agar memahami nilai politik yang lebih bermaruah.

Dalam masa sama, Pemuda PAS Selangor mengajak semua pemimpin muda parti politik di negara ini meninggalkan budaya politik tidak bertamadun serta kembali kepada politik berasaskan dasar, perbincangan profesional dan penyelesaian masalah rakyat.

Sukri berkata, semua parti wajar memperkukuh etika serta disiplin dalam penggunaan media sosial bagi menghalang penyebaran budaya politik hina-menghina yang tidak memberi manfaat kepada negara.

“Kami menolak politik jijik yang mencemar kehormatan ulama dan kepimpinan negara. Pemuda PAS komited membawa politik adab, politik hujah dan politik penyelesaian melalui pendekatan BPMS,” katanya lagi.

Penyerahan memorandum itu melambangkan gesaan tegas Pemuda PAS Selangor agar semua pihak kembali mengangkat politik bermaruah demi masa depan landskap politik negara yang lebih matang dan sejahtera.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button