BERITA SEMASA

Status Pulau Pinang sebagai negeri berdaulat termaktub jelas dalam Perlembagaan Persekutuan

GEORGE TOWN – Status Pulau Pinang sebagai sebuah negeri yang berdaulat dalam Persekutuan Malaysia tidak pernah dipertikaikan dan termaktub dengan jelas dalam Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, dakwaan mengenai sewaan atau pembayaran tertentu kepada Kedah tidak berbangkit sama sekali di peringkat kerajaan negeri kerana tanggungjawab itu telah dipindahkan kepada kerajaan Persekutuan berdasarkan sejarah dan peruntukan undang-undang.

“Berdasarkan perjanjian 1869 antara British dan Kedah serta Perkara 167(7) dan 169(a) Perlembagaan Persekutuan, segala komitmen bayaran tahunan zaman pentadbiran British kini terletak di bawah tanggungjawab kerajaan Persekutuan,” katanya.

Kon Yeow (DAP-Padang Kota) berkata demikian ketika sesi penggulungan pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang ke-15, di sini hari ini.

Sehubungan itu, Pulau Pinang tidak mempunyai sebarang kewajipan undang-undang untuk membayar sewaan, pampasan atau sebarang bentuk bayaran kepada Kedah.

Selain itu, katanya, sempadan negeri antara Kedah dan Pulau Pinang telah dimuktamadkan melalui Akta Kedah dan Pulau Pinang (Penyelarasan Sempadan) 1985 [Akta 325] yang diluluskan Parlimen mengikut Perkara 2 Perlembagaan Persekutuan.

Berikutan itu, tambahnya, kerajaan negeri menolak sebarang naratif, provokasi atau mesej kebencian yang cuba dimainkan pihak tidak bertanggungjawab hingga mampu mengugat keharmonian awam.

“Pulau Pinang adalah sebuah negeri berdaulat dalam Persekutuan dan semua komitmen kewangan sejarah yang melibatkan Kedah terletak di bawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button