SUKAN

Akademi Taekwondo Moon Moo rangkul naib juara Kejohanan Taekwon-Do ITF Jemputan ASEAN Singapura 2025 (II)

SINGAPURA – Akademi Taekwondo Moon Moo (ITF Melaka) berjaya mengharumkan nama negara apabila muncul naib juara keseluruhan pada Kejohanan Taekwon-Do ITF Jemputan ASEAN Singapura 2025 (II) yang berlangsung di Keat Hong CC, Choa Chu Kang Central, di sini baru-baru ini.

Walaupun hanya hadir dengan 11 peserta berusia antara 6 hingga 15 tahun, dua jurulatih dan tiga juri kejohanan, pasukan itu tetap berjaya menampilkan aksi membanggakan dengan meraih 12 pingat emas, 3 perak dan 5 gangsa sekali gus menewaskan kelab-kelab besar lain dari rantau ini.

Akademi Taekwondo Moon Moo
Seramai 11 peserta berusia 6 hingga 15 tahun mewakili akademi tersebut mempamerkan aksi cemerlang pada kejohanan kali ini.

Kejohanan tersebut turut disertai atlet dari Malaysia, Indonesia, Singapura, Taiwan dan Filipina sekali gus menyaksikan persaingan sengit dalam setiap kategori.

Ketua jurulatih Akademi Taekwondo Moon Moo, Maxx Lau Pau Siong berkata, kejayaan itu hadir di luar jangkaan memandangkan pasukan mereka jauh lebih kecil berbanding pesaing lain.

“Sebenarnya kami tidak menjangka mampu menamatkan kejohanan di tempat kedua, lebih-lebih lagi dengan hanya membawa 11 orang peserta berbanding kelab lain yang turun dengan pasukan lebih besar.

“Namun disiplin, fokus dan semangat mereka benar-benar memberi satu impak yang berbeza pada hari kejohanan,” katanya kepada Malaysia Tribune.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada ibu bapa serta penaja yang membantu melancarkan persiapan pasukan.

“Kos sepanjang pertandingan dibiayai oleh ibu bapa masing-masing namun ada juga yang berjaya mendapatkan tajaan daripada wakil kawasan mereka.

“Kami juga menerima tajaan t-shirt kejohanan daripada Heat Transfer Production.

“Saya berbangga dengan usaha semua pihak sama ada peserta mahupun ibu bapa. Mereka menunjukkan peningkatan ketara dan komitmen yang tinggi, hadir di setiap latihan tambahan sebagai persediaan kejohanan,” tambahnya.

Akademi Taekwondo Moon Moo
Maxx (dua dari kiri) berbangga dengan pencapaian peserta dari ITF Melaka.

Mengulas perancangan akan datang, Maxx optimis Akademi Taekwondo Moon Moo mampu melangkah lebih jauh.

“Untuk kejohanan seterusnya, kami berharap dapat mengekalkan momentum ini dan mungkin membawa lebih ramai peserta.

“Yang penting, kami mahu terus berkembang dan membuktikan bahawa jumlah kecil bukan halangan untuk menghasilkan keputusan besar,” katanya.

Gambar para peserta kejohanan bersama penganjur, jurulatih dan juri yang terlibat.

Kejayaan itu sekali lagi membuktikan kemampuan bakat muda negara menyaingi pasukan serantau meskipun berdepan kekangan jumlah atlet.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button