
PERDASAMA bantah penggabungan IJM Corporation dan Sunway Group
KUALA LUMPUR – Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (PERDASAMA) membantah cadangan penggabungan antara IJM Corporation Berhad dan Sunway Group yang boleh menjejaskan pegangan ekonomi mengganggu keseimbangan ekosistem perniagaan bumiputera.
Presidennya, Mohd Azmanizam Baharom berkata, IJM bukan sekadar sebuah syarikat korporat biasa, sebaliknya menjadi lambang penyertaan rakyat Malaysia, khususnya bumiputera, dalam sektor pembinaan dan infrastruktur negara.
Beliau berkata, antara pemegang saham utama IJM ialah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kumpulan Wang Persaraan (KWAP), Tabung Haji dan Amanah Raya Berhad yang memegang amanah serta simpanan jutaan rakyat Malaysia.
“Jika penggabungan ini diluluskan tanpa kawalan sewajarnya, pegangan bumiputera dalam IJM berisiko jatuh di bawah 25 peratus, sekali gus menjejaskan suara dan kuasa ekonomi rakyat dalam sektor strategik negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Azmanizam berkata, cadangan penggabungan itu bercanggah dengan semangat Dasar Ekonomi Bumiputera (DEB) dan Ekonomi MADANI, selain boleh menimbulkan ketidakseimbangan pasaran apabila kontraktor kecil dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan terpinggir akibat dominasi konglomerat besar.
PERDASAMA juga mengambil serius peringatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, agar institusi pelaburan milik kerajaan (GLIC dan GLC) tidak menyerahkan aset strategik rakyat kepada golongan maha kaya.
“Institusi seperti KWSP, PNB dan Tabung Haji mempunyai tanggungjawab moral serta amanah untuk mempertahankan kepentingan rakyat, bukan tunduk kepada tekanan pasaran korporat.
“Sejarah membuktikan, apabila penguasaan ekonomi terlalu tertumpu kepada segelintir pihak, rakyat bawahan dan usahawan kecil menjadi mangsa,” katanya lagi.
Beliau menggesa kerajaan dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) menilai semula implikasi ekonomi, sosial dan pemilikan bumiputera sebelum sebarang kelulusan diberikan terhadap cadangan penggabungan itu.
Dalam masa sama, institusi pelaburan milik rakyat diseru menjelaskan pendirian mereka kepada umum serta mempertahankan hak pemilikan rakyat terhadap IJM.
Azmanizam turut berkata, perlunya perbincangan terbuka melibatkan wakil industri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ekonomi dan pihak berkepentingan sebelum keputusan dibuat.
“PERDASAMA akan terus memantau isu itu bagi memastikan aset strategik milik rakyat tidak tergadai atas nama sinergi korporat atau kecekapan pasaran.
“Apabila kekayaan hanya beredar di tangan segelintir pihak, rakyat kehilangan suara dan maruah ekonomi bangsa turut tergadai,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








