BERITA SEMASADALAM NEGERI

HIV di Malaysia menurun, meningkat pada jangkitan golongan homoseksual, biseksual

KUALA LUMPUR – Kes baharu HIV di Malaysia mencatatkan penurunan pada tahun 2024 namun jangkitan yang berpunca daripada amalan homoseksual dan biseksual menunjukkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, sejumlah 3,185 kes HIV baharu dilaporkan bagi 2024, menurun sedikit berbanding 3,222 kes pada tahun 2023.

Katanya, secara keseluruhan, jumlah jangkitan HIV baharu di negara ini telah menurun sebanyak 54 peratus antara 2002 dan 2024.

“Tahun lalu, sejumlah 3,185 kes HIV baru dilaporkan, menurun sedikit berbanding 3,222 kes pada 2023.

“Merujuk kepada jumlah kes HIV menerusi risiko homoseksual atau biseksual, sebanyak 2,037 kes dilaporkan pada 2024.

“Bilangan ini meningkat dua peratus jika dibanding dengan 1,995 kes pada 2023,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen semalam.

Dzulkefly menjawab soalan Zulkifli Ismail (PN-Jasin) yang meminta statistik terkini dan perbandingan tahun sebelumnya bagi jumlah pesakit HIV daripada golongan LGBTQ mengikut kategori, serta pesakit HIV akibat penyalahgunaan dadah.

Sementara itu, kes baharu HIV yang berpunca daripada perkongsian jarum dan alat suntikan tercemar ketika aktiviti penyuntikan dadah menunjukkan penurunan ketara sejak pelaksanaan Program Pengurangan Mudrat pada 2005/2006.

“Berhubung kes baharu HIV menerusi risiko perkongsian jarum dan alat suntikan yang tercemar semasa menyuntik dadah, jangkitan menurun daripada 66 peratus (4,038 kes) pada 2005 kepada 2.7 peratus (87 kes) pada 2023 dan 2.4 peratus (77 kes) pada 2024,” jelas beliau.

Situasi ini menunjukkan bahawa walaupun keseluruhan kes HIV baharu menurun, peralihan mod jangkitan kini lebih tertumpu kepada hubungan seksual terutama dalam kalangan lelaki yang berisiko tinggi manakala penularan melalui perkongsian jarum telah berjaya dikurangkan melalui usaha pencegahan yang berterusan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button