LUAR NEGARA

Knesset lulus bacaan pertama RUU hukuman mati bagi pengganas, dijangka sasar rakyat Palestin

LONDON – Parlimen Israel, Knesset semalam meluluskan bacaan pertama rang undang-undang (RUU) yang mencadangkan hukuman mati terhadap individu yang dianggap sebagai pengganas.

RUU yang dikecam oleh Pihak Berkuasa Palestin dan kumpulan hak asasi manusia itu disokong 39 undi manakala 16 lagi menentang daripada keseluruhan 120 kerusi di Knesset, lapor BBC.

Terdapat kemungkinan apabila diluluskan kelak, undang-undang tersebut digunakan terhadap rakyat Palestin yang disabitkan kesalahan melakukan serangan maut terhadap warga Israel.

Menteri Keselamatan Negara, Itamar Ben-Gvir Yahudi yang membentangkan undian tersebut, meraikan kelulusan itu lewat Isnin dengan mengedarkan gula-gula.

“Selepas undang-undang ini akhirnya diluluskan, pengganas hanya akan ‘dibebaskan’ ke neraka,” katanya.

RUU itu perlu melepasi dua lagi bacaan sebelum menjadi undang-undang.

Dalam sesi yang sama, Knesset turut meluluskan bacaan pertama satu lagi rang undang-undang kontroversi yang membenarkan kerajaan Israel menutup mana-mana media asing tanpa kelulusan mahkamah.

Undian tersebut mencatatkan 50 menyokong dan 41 menentang.

Perundangan itu bertujuan menjadikan perintah sementara yang membolehkan penutupan saluran milik Qatar, Al Jazeera, pada Mei 2024 sebagai undang-undang kekal.

Cadangan itu bagaimanapun ditentang oleh penasihat undang-undang kerajaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button