Zohran Mamdani menang pilihanraya, jadi Datuk Bandar New York beragama Islam pertama dalam sejarah
NEW YORK – Calon Parti Demokrat, Zohran Mamdani bakal menjadi Datuk Bandar New York City ke-111 selepas menewaskan bekas Gabenor Andrew Cuomo dan calon Republikan, Curtis Sliwa, sekali gus mencatat sejarah sebagai Datuk Bandar beragama Islam pertama serta termuda dalam tempoh lebih satu abad.
Kemenangan Mamdani, 34, menandakan peningkatan luar biasa daripada seorang penggubal undang-undang negeri yang kurang dikenali kepada peneraju kota terbesar di Amerika Syarikat.
Dalam keputusan rasmi diumumkan Associated Press, Mamdani memperoleh lebih 50 peratus undi, manakala Cuomo, 67, sekadar meraih sekitar 40 peratus. Sliwa pula menamatkan saingan jauh di belakang dengan kira-kira 7 peratus undi.
Kemenangan bersejarah itu diraikan meriah di Brooklyn Paramount, lokasi utama kempen Mamdani, apabila penyokong bersorak dan berpelukan sebaik keputusan diumumkan.
Pemilihan Mamdani hadir seiring dengan gelombang kemenangan Parti Demokrat di seluruh Amerika Syarikat termasuk kejayaan Abigail Spanberger yang menjadi Gabenor wanita pertama Virginia, serta Mikie Sherrill yang menewaskan pencabar disokong Trump di New Jersey.
Sebelum ini, Datuk Bandar semasa, Eric Adams, menarik diri daripada saingan pada September selepas gagal mendapatkan momentum bagi penggal kedua sebagai calon bebas.
Kempen Mamdani yang dilancarkan pada musim luruh lalu mulanya dipandang sepi namun beliau berjaya menambat hati pengundi dengan mesej berasaskan isu kemampuan hidup dan keadilan sosial, yang semakin mendapat sambutan dalam kalangan penduduk bandar raya itu.
Antara janji utama dalam platform kempen beliau termasuk:
-Membekukan kadar sewa bagi unit perumahan terkawal (rent-stabilized units).
-Membina lebih banyak rumah mampu milik di seluruh bandar.
-Menaikkan gaji minimum kepada AS$30 sejam (RM143).
-Menjadikan perkhidmatan bas awam percuma kepada semua penduduk.
-Menaikkan cukai kepada golongan paling kaya di New York bagi membiayai inisiatif sosial.
Mamdani, yang sebelum ini hanya dikenali sebagai ahli politik progresif dari Queens, kini muncul sebagai wajah baharu politik bandar raya terbesar Amerika itu sekaligus menjadi simbol kepada perubahan generasi dan keterangkuman dalam kepimpinan moden.
Siapa Zohran Mamdani?
Mamdani dilahir di Kampala, Uganda, berasal daripada keluarga berlatar belakang keluarga India Muslim, bapanya, Mahmood Mamdani adalah pakar antropologi dan ibunya, Mira Nair, seorang pengarah filem.
Beliau memasuki arena politik selepas beberapa pengalaman awal dalam komuniti dan pernah bekerja sebagai kaunselor perumahan dan aktivis lokal, sebelum berjaya memenangi kerusi Majlis Perhimpunan Negeri New York.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








