BERITA SEMASA

Nama Inggeris projek pencahayaan Bukit Bintang hanya gimik cipta keunikan – Datuk Bandar KL

KUALA LUMPUR – Penggunaan nama berbahasa Inggeris bagi projek pencahayaan bandar di Bukit Bintang hanyalah sebahagian daripada strategi promosi bagi menarik minat pengunjung, khususnya pelancong luar negara.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif berkata, pemilihan nama tersebut mempunyai maksud tersendiri dan bukan bertujuan untuk mengetepikan penggunaan bahasa Melayu.

Katanya, nama itu diambil daripada Innovative, Lighting, Infrastructute, Towards, Eco-Elegance dan Urbanisation yang merangkumi aspirasi bandar raya ini menjadi bandar pintar, lestari dan indah pada waktu malam.

“Program itu sebenarnya ada singkatan tersendiri iaitu Illuminate the City, Inspire the Nation. Ia bukan sekadar slogan, tetapi simbolik kepada usaha memperindahkan pencahayaan bandar raya sebagai tarikan baharu pelancongan Kuala Lumpur.

“Pemilihan nama I LITE U bukan dibuat sewenang-wenangnya, sebaliknya sebagai sebahagian daripada gimik dan strategi promosi untuk mencipta keunikan dan rasa ingin tahu dalam kalangan masyarakat serta pelancong.

“Kita hendak jadikan Kuala Lumpur sebuah bandar yang terang, berseri dan hidup pada waktu malam. Bila orang tengok ‘I LITE U’, mereka akan tertanya-tanya, ‘L-I-T-E ke L-I-K-E?’ dan dari situ mereka akan kenal kempen ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Pelancaran Calendar of Events DBKL 2026 serta Flag-Off Bas Generasi Keempat KL Hop On Hop Off (KL HOHO) sempena kempen TMM 2026 di ibu negara kelmarin.

Terdahulu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, dilaporkan menegur seorang wartawan supaya tidak menjadikan pemilihan nama itu sebagai isu.

Dalam kenyataan hari ini, Kor Ming menzahirkan keterbukaan menerima teguran berhubung insiden berkenaan dan mengakui kemungkinan wujud kekhilafan dalam situasi berkenaan dan menegaskan komitmennya untuk terus menghormati kebebasan media.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button