AMRENCANA

Deklarasi Kuala Lumpur perkukuh komitmen ASEAN capai Wawasan 2045

SIDANG Kemuncak ASEAN Ke-47 yang berakhir semalam menandakan satu detik penting apabila para pemimpin rantau ini sebulat suara meluluskan Deklarasi Kuala Lumpur 2045, sebuah dokumen strategik yang memperkukuh komitmen kolektif negara anggota terhadap kerjasama jangka panjang, integrasi serantau dan kestabilan dalam menghadapi ketidaktentuan global.

Deklarasi tersebut melengkapkan Wawasan ASEAN 2045 (ACV 2045) yang diperkenalkan pada ulang tahun ke-50 ASEAN pada 2017.

Wawasan jangka panjang itu menetapkan hala tuju menuju ulang tahun ke-100 ASEAN dengan matlamat membentuk Komuniti ASEAN yang bersatu, aman, inklusif, berdaya tahan dan makmur berteraskan tiga tonggak utama iaitu politik-keselamatan, ekonomi serta sosial-budaya.

Berbeza dengan dokumen-dokumen terdahulu, Deklarasi Kuala Lumpur menumpukan langkah praktikal bagi merealisasikan aspirasi tersebut, termasuk integrasi perdagangan, keselamatan siber, mobiliti tenaga kerja serantau serta pembangunan lestari.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan deklarasi itu bukan sekadar simbolik, sebaliknya mencerminkan komitmen nyata ASEAN untuk bergerak seiring demi kepentingan bersama.

Related Articles

“Deklarasi Kuala Lumpur 2045 membuktikan ASEAN mempunyai arah jelas berlandaskan prinsip keadilan, keterbukaan dan kesepakatan kolektif. Ia menjadikan rantau ini lebih bersatu, stabil serta bersedia menghadapi cabaran global yang semakin kompleks,” katanya.

Dari segi ekonomi, deklarasi ini juga selaras dengan keutamaan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 untuk mempercepat integrasi perdagangan melalui Naik Taraf Perjanjian Perdagangan Barang ASEAN (ATIGA), ASEAN Digital Economy Framework Agreement (DEFA) serta ASEAN Single Window (ASW).

Langkah ini dijangka meningkatkan kecekapan perdagangan, memperkukuh rantaian bekalan serantau dan menarik pelaburan asing yang bernilai tinggi.

Felo Kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, Dr. Oh Ei Sun dalam satu laporan menjelaskan bahawa ACV 2045 memperkenalkan 17 elemen baharu yang mencerminkan perkembangan sosioekonomi ASEAN.

Antaranya termasuk ekonomi hijau dan biru, pengurusan populasi menua, pemerkasaan wanita dan belia, serta usaha merapatkan jurang pembangunan antara negara anggota.

“Isu-isu ini tidak kontroversial tetapi penting untuk membina ASEAN yang lebih inklusif dan berpandangan jauh. Deklarasi Kuala Lumpur 2045 dan ACV 2045 akan menjadi penanda aras untuk menilai pencapaian dekad lalu serta memperkukuh integrasi ekonomi jangka panjang,” ujarnya.

Deklarasi itu turut menegaskan kepentingan ASEAN mengekalkan hubungan seimbang dengan kuasa besar seperti China dan Amerika Syarikat bagi menjamin kestabilan ekonomi dan keselamatan rantau ini.

Pendekatan “principled neutrality” dan “omni-directional engagement” yang digariskan Malaysia membolehkan ASEAN kekal sebagai platform neutral di tengah ketegangan geopolitik dunia, sambil terus memanfaatkan peluang kerjasama strategik.

Namun, integrasi serantau turut berdepan cabaran seperti ketidakseimbangan pembangunan, keupayaan digital tidak sekata dan risiko keselamatan siber.

Justeru, deklarasi ini menetapkan beberapa mekanisme baharu termasuk pembangunan kapasiti institusi, perkongsian teknologi serta pematuhan piawaian keselamatan data serantau.

Secara keseluruhannya, Deklarasi Kuala Lumpur 2045 bukan sekadar memperkukuh Wawasan ASEAN 2045, tetapi juga menandakan kesepakatan baharu untuk membawa ASEAN menjadi blok serantau yang bersatu, makmur dan berdaya tahan menjelang ulang tahun ke-100 penubuhannya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button