Asia’s Kids Star perkukuh kerjasama seni kanak-kanak Asia
KUALA LUMPUR – Majlis pelancaran kerjasama dan pemerkasaan jenama Asia’s Kids Star anjuran NQ Cultural Commercial Sdn. Bhd. (NQCC) semalam, menarik penyertaan institusi pendidikan seni kanak-kanak serta rakan kerjasama dari seluruh negara.
Majlis berkenaan memperkukuh kerjasama serantau melalui inisiatif Asia’s Kids Star bagi menggabungkan institusi pendidikan seni kanak-kanak.
Menurut NQCC, usaha itu bertujuan menggalakkan perkembangan pendidikan seni, memperluas penyebaran budaya serta memperkukuh jenama rentas rantau bagi mewujudkan ekosistem pembangunan bakat kanak-kanak yang seimbang dan berdaya saing.

“Perancangan strategik dan visi jangka panjang Asia’s Kids Star yang bukan sahaja memberi tumpuan kepada promosi pendidikan seni, tetapi juga kepada profesionalisasi dan internasionalisasi industri seni kanak-kanak.
“Antara langkah yang akan dilaksanakan termasuk penganjuran pertandingan, program pertukaran pembelajaran, kerjasama jenama serta perkongsian sumber antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Majlis itu turut memperkenalkan projek rakaman khas Asia’s Kids Star yang sedang dirangka bersama Beijing TV.
Inisiatif tersebut dijangka membuka peluang kepada bakat muda Malaysia untuk tampil di layar antarabangsa.
NQCC turut berkata, kerjasama dengan Beijing TV membuka laluan kepada lebih ramai bakat cilik tempatan dikenali di peringkat global.
“Melalui platform antarabangsa ini, kami mahu kanak-kanak Malaysia bukan sahaja dilatih dengan kemahiran seni tetapi turut diasuh dengan semangat global untuk berdaya saing dan berimpian besar,” katanya lagi.
Majlis turut menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara NQCC dan beberapa institusi pendidikan seni termasuk Wuhoo Dance Studio, Vivace Dance Academy, Kinetic Dance Academy, Mine Dance Studio, Easy Arts Studio, Dream Possible Music Class, Dreamz Art Academy, Pusat Tuisyen Sri Intelek, Johan Speaking Academy, Fantasy Art Center dan Juz Music & Art.
Turut hadir Pengerusi Persatuan Pembangunan Pelancongan Antarabangsa Malaysia, Kapten Mahadzir Mansor; Naib Pengerusi, Prof Datuk Azli Halim; Penasihat SME Malaysia merangkap Pengasas Green Wellness (M) Sdn Bhd, Dorph Peng Wen Yin; Ketua Pegawai Eksekutif Pudding Media (Puding Jie Jie), Vivi Ng; Pengarah MUSICPRENEUR Education, Lua Hooi Ching serta Pengarah Filem “You Are My Son”, Jimz Lee.
Selain itu, para tetamu turut menilai keupayaan syarikat tersebut dalam menggabungkan teknologi kandungan digital dengan pendidikan seni moden.
“Misi Asia’s Kids Star adalah memastikan sumber pendidikan seni berkualiti dan kepakaran kreatif budaya di Asia dapat dikongsi bersama menerusi kerjasama rentas industri dan antarabangsa.
“Langkah ini akan terus memperkukuh jaringan Asia’s Kids Star di seluruh rantau Asia dan kami mahu lebih ramai bakat muda dikenali, dibimbing dan diiktiraf di peringkat global,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








