Mayat kanak-kanak 4 tahun ditemukan, enam kilometer dari lokasi dihanyutkan ombak
KUALA NERUS – Penantian penuh debaran sebuah keluarga berakhir dengan kesedihan apabila mayat kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang dilaporkan hilang selepas dipukul ombak besar di Pantai Sauh, Batu Rakit, ditemukan awal pagi semalam.
Mangsa, Muhammad Zarif Mohd Hazahari, ditemukan terdampar di pantai kira-kira jam 3 pagi oleh pasukan penyelamat dengan bantuan penduduk setempat, kira-kira enam kilometer dari lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Superintendan Azli Mohd Noor berkata, mangsa yang merupakan anak kelima daripada enam beradik dipercayai lemas selepas dihanyutkan ombak besar ketika berada di pantai bersama ahli keluarganya.
“Mayat kanak-kanak itu ditemukan kira-kira enam kilometer dari tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan ringkas semalam.
Menurut beliau, kejadian berlaku kira-kira jam 6 petang Jumaat lalu apabila mangsa berada di Pantai Sauh bersama ibu saudaranya serta empat kanak-kanak lain untuk bersiar-siar dan melihat ombak.
Bagaimanapun, selepas hampir setengah jam berada di kawasan pantai, Muhammad Zarif dikatakan turun ke gigi air untuk membasuh kaki sebelum tiba-tiba dipukul ombak besar lalu dihanyutkan arus deras.
Operasi mencari dan menyelamat segera digerakkan melibatkan polis, bomba serta orang awam, namun usaha tersebut hanya berakhir apabila mayat mangsa ditemui pada awal pagi keesokan harinya.
Dalam pada itu, pihak berkuasa menasihatkan orang ramai supaya lebih berwaspada dan tidak membawa kanak-kanak ke kawasan pantai ketika keadaan laut bergelora bagi mengelakkan kejadian tragis berulang.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








