11 termasuk 10 pelancong maut pesawat ringan terhempas di Kenya
NAIROBI – Sebelas termasuk 10 pelancong asing maut apabila pesawat ringan dinaiki mereka jatuh terhempas di Kwale County, wilayah pesisir Kenya ketika dalam perjalanan ke Rizab Negara Maasai Mara, awal pagi Selasa (waktu tempatan).
Syarikat penerbangan Mombasa Air Safari mengesahkan, lapan penumpang warga Hungary dan dua warga Jerman bersama seorang juruterbang warga tempatan berada dalam pesawat dengan nombor pendaftaran 5Y-CCA, yang berlepas dari Diani.
“Malangnya, tiada yang terselamat,” menurut syarikat itu dalam satu kenyataan, sambil memaklumkan bahawa pasukan respons kecemasan telah diaktifkan dan pihaknya bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa bagi mengenal pasti punca nahas, lapor agensi Xinhua.
Mombasa Air Safari, yang mengendalikan penerbangan berjadual dan sewa khas ke beberapa destinasi pelancongan di seluruh Kenya, turut menyatakan “dukacita mendalam” dan menubuhkan pasukan bantuan keluarga bagi menyediakan kaunseling serta sokongan logistik kepada waris mangsa.
Pasukan penyelamat daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Kenya, Palang Merah Kenya dan pihak berkuasa tempatan telah digerakkan ke lokasi nahas sejurus selepas kejadian dilaporkan.
Serpihan bangkai pesawat ditemukan bertaburan di kawasan berbukit di Kwale, tempat pasukan kecemasan berusaha mengeluarkan mayat mangsa dan mengawal lokasi kejadian.
Pihak berkuasa penerbangan Kenya memaklumkan siasatan bersama telah dilancarkan dengan penyertaan wakil dari Hungary, Jerman dan pengeluar pesawat berkenaan bagi menentukan punca nahas.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















