BERITA SEMASADALAM NEGERI

Permohonan rayuan haji 2026 dibuka 3 November, keutamaan pada warga emas, OKU

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) mengumumkan bahawa permohonan rayuan bagi menunaikan ibadat haji bagi musim 1447 Hijrah / 2026 Masihi akan dibuka mulai 3 November ini melalui aplikasi dan laman web rasmi THiJARI.

Ketua Jabatan Haji TH, Mohd. Hisham Harun berkata, langkah membuka proses rayuan lebih awal itu bertujuan memudahkan bakal jemaah membuat persediaan dengan lebih terancang, selain memastikan urusan permohonan berjalan lancar.

“TH mengambil pendekatan proaktif bagi memberi peluang kepada pendeposit membuat rayuan lebih awal dan menyiapkan diri dari segi kewangan serta persiapan ibadat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, rayuan luar giliran bagi tahun haji semasa akan dinilai berdasarkan beberapa kriteria merit seperti tempoh pendaftaran, umur, purata baki simpanan akaun, kekerapan membuat rayuan serta kehadiran ke Kursus Asas Haji yang dikendalikan TH.

Permohonan hanya dibuka kepada pendeposit dengan simpanan minimum RM15,000 dalam akaun Tabung Haji masing-masing.

Bagi jemaah yang terpilih melalui proses rayuan, kadar bayaran haji ditetapkan sebanyak RM33,300, iaitu kos penuh mengikut konsep istitoah (kemampuan) yang digariskan syarak.

“Seperti tahun-tahun sebelumnya, keutamaan akan diberi kepada permohonan mahram dan pengiring jemaah warga emas serta golongan kelainan upaya (OKU),” jelasnya.

Orang ramai boleh membuat permohonan serta menyemak status rayuan melalui aplikasi THiJARI atau laman sesawang www.thijari.com.my.

Maklumat lanjut dan pertanyaan juga boleh diperoleh menerusi portal rasmi www.tabunghaji.gov.my atau Tabung Haji Contact Centre (THCC) di talian 03-6207 1919.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button