Insiden serangan terhadap UNIFIL tidak jejas operasi MALBATT
KUALA LUMPUR – Insiden serangan terhadap Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) tidak memberi sebarang kesan kepada pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-12.
Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Mohd Nizam Jaffar berkata, semua anggota MALBATT dalam keadaan selamat dan operasi mereka masih berjalan seperti biasa, lapor BERNAMA.
“Tidak ada apa-apa yang memberi kesan kepada MALBATT dan mereka kini sedang dalam proses persiapan untuk pertukaran pasukan,” katanya, hari ini.
Pasukan MALBATT 850-12 dijadualkan pulang secara beransur menjelang November ini dan akan digantikan oleh pasukan MALBATT 850-13 termasuk satu platun daripada Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.
UNIFIL dalam satu kenyataan semalam berkata, satu daripada pasukan perondanya diserang menggunakan bom tangan oleh dron dan kereta kebal Israel berhampiran Kfar Kila, selatan Lubnan.
Menurut kenyataan itu, sebuah dron Israel terbang di atas kawasan rondaan menyebabkan pasukan pengaman berkenaan mengambil langkah pertahanan bagi meneutralkan ancaman terbabit.
Bagaimanapun, tiada kecederaan atau kerosakan dilaporkan dalam insiden itu.
UNIFIL beroperasi di selatan Lubnan sejak 1978 dan diperkukuhkan secara besar-besaran selepas perang antara Israel dan kumpulan Hizbullah pada 2006 melalui Resolusi 1701 Majlis Keselamatan PBB.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





















