254 terbunuh, lebih 1,000 cedera dalam serangan Israel di Beirut
BEIRUT – Sekurang-kurangnya 254 orang terbunuh manakala 1,165 lagi cedera dalam siri serangan udara Israel ke atas beberapa kawasan padat di ibu negara selepas beberapa jam pengumuman gencatan senjata dalam konflik melibatkan Iran.
Namun Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menegaskan bahawa gencatan senjata itu tidak melibatkan Lebanon, sekali gus memberi isyarat operasi ketenteraan terhadap Hezbollah akan diteruskan.
Menurut Pasukan Pertahanan Israel, serangan berskala besar itu menyasarkan ratusan sasaran yang didakwa sebagai pusat operasi dan infrastruktur kumpulan Hezbollah di Beirut, Lembah Bekaa dan selatan Lebanon.
Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz berkata, operasi tersebut merupakan antara serangan terbesar sejak kempen ketenteraan baharu yang dilancarkan pada 2 Mac lalu.
Sementara itu, Menteri Kesihatan Lebanon, Rakan Nassereddine menyifatkan situasi berkenaan sebagai ‘eskalasi berbahaya’ dengan lebih 100 serangan udara dilancarkan di seluruh negara.
Menurutnya, pasukan perubatan masih bertungkus-lumus membawa mangsa ke hospital, sambil merayu bantuan segera daripada komuniti antarabangsa.
Dalam perkembangan sama, Persatuan Bulan Sabit Lubnan mengerahkan kira-kira 100 ambulans bagi operasi menyelamat, ketika keadaan panik dan huru-hara melanda bandar dengan orang ramai bertempiaran menyelamatkan diri.
Kumpulan Hezbollah mengecam tindakan tersebut sebagai serangan terhadap kawasan awam, manakala Speaker Parlimen Lebanon, Nabih Berri menyifatkannya sebagai jenayah perang.
Walaupun Washington dan Tel Aviv mengumumkan gencatan senjata berkaitan Iran, Netanyahu menegaskan Israel akan terus menekan Hezbollah dan bersedia menyambung perang pada bila-bila masa.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








