BERITA SEMASA

Sistem pendidikan tinggi perlu dijiwai roh budaya – Zambry

LUMUT – Sistem pendidikan tinggi negara perlu disemarakkan dengan roh dan jiwa budaya bagi melahirkan generasi berjati diri, empati serta berperadaban.

Sistem pendidikan tinggi perlu dijiwai roh budaya – Zambry
Dr. Zambry ketika berucap merasmikan Festival PULARA ke-11 di Dataran Lumut, Perak.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, aspek seni dan kesusasteraan bukan sekadar pelengkap dalam pendidikan, sebaliknya menjadi tunjang penting kepada pembentukan nilai kemanusiaan dan identiti sesebuah bangsa.

“Sebuah negara tanpa seni adalah negara tanpa empati. Dalam konteks pendidikan tinggi, kita perlu memastikan sistem kita memiliki roh,” katanya ketika merasmikan Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa (PULARA) ke-11 di Dataran Lumut, malam tadi.

Dr Zambry berkata, penganjuran festival berteraskan sastera dan budaya seperti PULARA bukan sahaja memperkukuh semangat cintakan warisan bangsa, tetapi juga mengeratkan perpaduan rakyat pelbagai kaum selain menonjolkan kepelbagaian budaya Malaysia.

“Sejak diperkenalkan, PULARA terus berkembang menjadi platform antarabangsa apabila pernah disenaraikan dalam World Congress of Poets dan menghimpunkan penyertaan daripada 36 negara di seluruh dunia.

“Saya berharap PULARA akan terus berkembang menjadi mercu tanda antarabangsa bagi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan juga Malaysia,” katanya lagi.

Sistem pendidikan tinggi perlu dijiwai roh budaya – Zambry
Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff

Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, kejayaan penganjuran PULARA ke-11 membuktikan universiti bukan hanya berperanan sebagai institusi akademik, tetapi turut menjadi peneraju dalam memperkasa seni dan budaya rakyat.

“Dengan kehadiran lebih 20,000 pengunjung serta penyertaan pelajar antarabangsa dari 19 negara, PULARA menjadi jambatan yang menyatukan pelbagai latar budaya melalui bahasa puisi dan irama rakyat.

“Inisiatif seperti ini memperlihatkan kesepaduan ekosistem pendidikan tinggi negara dan UPSI berbangga menjadi sebahagian daripada usaha mengangkat kembali roh kesusasteraan serta budaya Melayu ke peringkat dunia,” katanya lagi.

Festival PULARA ke-11 yang berlangsung selama tiga hari bermula 23 hingga 25 Oktober itu menampilkan 100 persembahan seni budaya dan 50 gerai pameran serta jualan, dengan penyertaan daripada 18 institusi pengajian tinggi (IPT) dan pelbagai agensi kerajaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button