Pemimpin dunia tiba di Kuala Lumpur untuk Sidang Kemuncak ASEAN ke-47
PUTRAJAYA – Gelombang ketibaan pemimpin dunia mula membanjiri ibu negara hari ini menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan mesyuarat berkaitan yang bakal berlangsung hujung minggu ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Antara yang dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ialah Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva bersama isteri, Rosangela Lula da Silva; Naib Perdana Menteri China, He Lifeng; Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa bersama isteri, Dr Tshepo Motsepe; serta Presiden Timor-Leste, Jose Ramos-Horta dan Perdana Menteri, Kay Rala Xanana Gusmao.
Turut menyertai sidang kemuncak berprestij itu ialah Menteri Luar Finland, Elina Valtonen; Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn bersama isteri, Khen Rany; Menteri Luar dan Kerjasama Timor-Leste, Bendito dos Santos Freitas; Menteri Luar Indonesia, Sugiono dan Menteri Penyelaras Hal Ehwal Politik dan Keselamatan Indonesia, Djamari Chaniago.
Antara tokoh dunia lain yang dijadual hadir termasuk Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump; Perdana Menteri China, Li Qiang; Presiden Majlis Eropah, Antonio Costa dan Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi, yang juga wanita pertama memegang jawatan tersebut.
Ketibaan mereka menandakan bermulanya detik penting buat Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 dengan tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’, yang menekankan agenda memperkukuh perpaduan serantau serta keupayaan rantau ini menghadapi cabaran global secara bersama.
Sidang kemuncak kali ini dijangka menjadi antara yang terbesar dalam sejarah ASEAN dan bakal menyaksikan penyertaan rasmi Timor-Leste sebagai anggota ke-11 blok serantau itu, yang dijangka dimuktamadkan pada 26 Oktober ini.
Penganjuran sidang kemuncak tahun ini berlangsung ketika ekonomi global berdepan tekanan akibat langkah tarif Amerika Syarikat serta ketidaktentuan geopolitik yang berpanjangan.
Antara agenda utama minggu ini termasuk Mesyuarat Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) ke-26 yang memberi tumpuan kepada Pelan Tindakan AEC 2025, dan Mesyuarat Pakar+4 Pasukan Petugas Geoekonomi ASEAN (AGTF) yang membincangkan strategi menghadapi cabaran ekonomi serta perdagangan global.
Malaysia pernah memegang Kepengerusian ASEAN sebanyak empat kali sebelum ini, iaitu pada tahun 1977, 1997, 2005 dan 2015, dengan tahun ini menandakan kali kelima negara menggalas tanggungjawab penting itu sejak penubuhan ASEAN pada 1967.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








