BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Teguran isteri tidak bertudung cetus pergaduhan di pekarangan Masjid Selat Melaka

MELAKA – Teguran terhadap seorang wanita yang tidak memakai tudung ketika ingin memasuki Masjid Selat Melaka, di sini, mencetuskan pergaduhan antara suami wanita berkenaan dengan seorang pengawal keselamatan, baru-baru ini.

Kejadian yang dirakam dalam video berdurasi 1 minit 9 saat itu menunjukkan kedua-dua individu bertumbuk dan bertengkar sebelum dilerai oleh orang awam di pekarangan masjid.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pihaknya menerima laporan daripada lelaki berusia 43 tahun itu pada pukul 4.13 petang kelmarin.

Menurut beliau, siasatan mendapati insiden berlaku ketika pasangan suami isteri berkenaan yang datang dari Kuala Lumpur ingin menunaikan solat Zohor di masjid berkenaan, namun kenderaan mereka ditahan di pintu masuk kerana wanita tersebut tidak bertudung.

“Pengawal keselamatan menegur pasangan itu dan memaklumkan bahawa tudung perlu dipakai sebelum memasuki kawasan masjid.

“Namun, pengadu mendakwa isterinya sudah menutup kepala menggunakan sweater,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata, selepas memberi teguran, pengawal keselamatan kembali ke pondok kawalan untuk memaklumkan perkara itu kepada penyelianya, namun lelaki berkenaan tiba-tiba keluar dari kereta dan menghentak bumbung kenderaannya sambil menjerit, “aku hendak sembahyang ni.”

“Tindakan itu mencetuskan provokasi hingga berlaku pertengkaran mulut antara mereka sebelum berakhir dengan insiden bertumbuk dan menendang di pintu masuk masjid,” katanya.

Christopher berkata, lelaki terbabit kemudian menarik balik laporan polis selepas kedua-dua pihak mencapai penyelesaian secara baik.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button