Suspek cederakan gadis ketika menunggang motosikal didapati simpan perasaan terhadap mangsa
MELAKA – Suspek kejadian di mana seorang gadis cedera akibat dilibas objek tajam ketika menunggang motosikal semalam, didapati menyimpan perasaan terhadap mangsa.
Menurut Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, perkara itu berdasarkan hasil soal siasat yang dijalankan terhadap suspek berusia 25 tahun berkenaan selepas dia ditahan kira-kira pukul 11 malam tadi di sekitar Tangga Batu, di sini.
Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan bagi memastikan sama ada tindakan melibas mangsa menggunakan pisau itu dilakukan selepas mangsa menolak cintanya atau perasaan cemburu.
“Hasil soal siasat dilakukan, suspek ini memberitahu dia minat pada mangsa.
“Bagaimanapun sama ada dia melibas mangsa kerana remaja itu menolak cintanya masih dalam siasatan,” katanya ringkas.
Laporan media sebelum ini menyebut, seorang remaja perempuan cedera selepas dipercayai dilibas dengan objek tajam oleh individu tidak dikenali ketika menunggang motosikal di Jalan Tangga Batu, Tanjung Kling kira-kira pukul 4.45 petang.
Akibat kejadian itu, mangsa berusia 19 tahun yang bekerja sebagai operator kilang mengalami luka sepanjang kira-kira tujuh sentimeter di bahagian pinggang belakang.
Mangsa yang berasal dari Tangkak, Johor bagaimanapun mendakwa dia tidak mempunyai sebarang perselisihan faham dengan sesiapa atau mengenali individu yang disyaki terlibat kerana baru tiga minggu bekerja di sebuah kilang di negeri ini.
Susulan kejadian, seorang lelaki berusia 25 tahun ditahan di rumahnya di sekitar Tangga Batu pada pukul 11 malam tadi selepas mengaku melakukan perbuatan itu dan menunjukkan sebilah pisau sepanjang kira-kira 27 sentimeter yang dipercayai digunakan dalam serangan berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








