‘Ada sanggup tawar RM5,000 nak tahu lokasi saya’ – Ardell
CYBERJAYA – Pelakon, Ardell Aryana, mendakwa pernah diugut sebaik pulang daripada menjayakan misi kemanusiaan bersama Global Sumud Flotilla (GSF), baru-baru ini.
Perkara itu dikongsikan Ardell dalam satu siaran langsung di akaun TikTok miliknya, malam tadi.
“Orang kecam saya, tapi tidak beri kesan pun. Ada sampai yang hubungi pengurus saya, sanggup tawar RM5,000 semata-mata nak tahu lokasi saya berada.
“Mereka marah dan paksa untuk dapatkan maklumat saya. Tapi saya tak kisah dan tak takut dengan ugutan itu,” katanya.
Namun, jauh daripada berundur, Ardell tetap nekad meneruskan perjuangan membawa suara rakyat Palestin meskipun ada pihak yang cuba menakut-nakutkannya.
Keberaniannya itu, katanya, didorong semangat untuk terus menyebarkan kesedaran mengenai penderitaan rakyat Gaza.
“Saya bukan tak buat siaran langsung sebab takut pada Israel, walaupun saya tahu mereka tengok ‘live’ saya.
“Jangan patah semangat, teruskan berkongsi dan ‘repost’ mengenai Palestin. Kita ada perjuangan seterusnya selepas ini.
“Saya nampak tekanan daripada suara kita buat mereka takut. Kita berani kerana kita benar,” katanya.
Dalam sesi sama, Ardell turut berkongsi keadaan terkini dirinya sejurus pulang ke tanah air 7 Oktober lalu.
‘Berat badan saya memang menyusut banyak. Kalau jumpa saya sekarang memang kecil. Saya tak aktif di media sosial sebab jaga emak saya. Saya minta maaf sebab diam dan buat semua risau. Saya okay saja.
“Lebam sebelum ini pun sikit saja, bahu bukan patah, cuma tisu koyak. Badan saya lembik sedikit, tapi saya tak nak susahkan sesiapa,” katanya.
Ardell menambah, buat masa ini dia belum bersedia untuk berkongsi pengalaman sepenuhnya mengenai pelayaran misi kemanusiaan berkenaan dan lebih fokus untuk memulihkan keadaan kesihatan dirinya dan menjaga emaknya yang sedang menjalani pemulihan selepas menjalani pembedahan kaki.
Ardell seterusnya menzahirkan rasa terharu dengan sambutan luar biasa orang ramai yang menantinya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 7 Oktober lalu.
“Dari hari saya balik, saya belum sempat ucap terima kasih kepada semua. Ini ‘live’ pertama saya selepas misi.
“Saya terharu sebab ramai datang ke lapangan terbang, ada yang beri saya al-Quran secara peribadi, sampai tiga naskhah. Alhamdulillah,” katanya lagi.
Ardell atau nama sebenarnya Nurul Hidayah Mohd Amin, 35, merupakan antara 23 aktivis kemanusiaan dari Malaysia yang menyertai misi GSF ke Gaza bagi menghantar bantuan kemanusiaan kepada penduduk Palestin.
Aktivis wanita lain yang turut serta ialah Datin Seri Heliza Helmi, Hazwani Helmi, Zizi Kirana, Farah Lee dan Ilya Balqis.
Misi itu bagaimanapun dipintas tentera rejim zionis menyebabkan mereka semua ditahan.
Kesemua mereka kemudiannya dibebaskan dan selamat tiba di tanah air 7 Oktober lalu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














