KPM perkenal langkah baharu perkukuh ekosistem sekolah selamat dalam masa terdekat
KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) dijangka mengumumkan beberapa langkah baharu dalam masa terdekat bagi memperkukuh ekosistem sekolah selamat serta mempertingkat sokongan kesihatan mental di institusi pendidikan.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, beliau hari ini menerima taklimat dan laporan daripada kumpulan profesional bagi mendapatkan gambaran menyeluruh berhubung situasi semasa, sekali gus membantu kementerian merangka langkah susulan yang lebih berkesan.
“Saya adakan pertemuan dan debried (memberi atau menerima laporan) bersama pasukan sokongan psikososial yang sedang melaksanakan intervensi krisis bagi membantu warga sekolah yang terjejas, selepas beberapa insiden untuk mendukung sokongan kesihatan mental.
“Beberapa perbincangan dengan pasukan KPM turut diadakan terkait usaha tambah baik aspek keselamatan di sekolah dan disiplin anak-anak sebagai keputusan Jemaah Menteri. Insya-Allah saya akan umumkan beberapa langkah dalam masa terdekat,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Fadhlina berkata, langkah itu susulan beberapa insiden yang berlaku di sekolah sehingga menuntut tindakan daripada kementerian untuk memperkukuh tahap Keselamatan serta sokongan kesihatan mental.
“Beberapa insiden yang berlaku lewat ini menuntut kita untuk bekerja dengan lebih kuat lagi, bagi memperbaiki kelompongan yang ada demi memastikan keselamatan anak-anak, guru dan seluruh warga pendidikan.
“Bagai tidak ada istilah cuti kerana ketika ini kami sedang menggiatkan usaha menyusun semua mekanisme bagi memperkukuh ekosistem sekolah selamat,” ujarnya.
Baca juga : Had umur 16 tahun akses media sosial wajar, elak tekanan remaja
Jemaah Menteri sebelum ini menyarankan tiga langkah bagi menangani isu keselamatan di sekolah termasuk melarang penggunaan telefon pintar bagi pelajar berumur 16 tahun ke bawah.
Selain itu, pihak polis digesa mempertingkat pemantauan keselamatan di sekolah, manakala kandungan pendidikan perlu ditambah baik dengan sokongan daripada ibu bapa serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi menerap nilai murni dalam kalangan pelajar.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














