JENAYAH & MAHKAMAH

Polis rakam keterangan 127 saksi kes tikam pelajar

PETALING JAYA – Polis kini telah merakam keterangan seramai 127 saksi bagi membantu siasatan berhubung kes seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun yang maut ditikam di sebuah sekolah menengah di Petaling Jaya, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, pihaknya akan terus mengambil keterangan individu lain sekiranya terdapat saksi tambahan yang boleh membantu siasatan.

“Sehingga kini, kita telah merakam keterangan pelajar, guru, kakitangan sekolah, kaunselor, keluarga mangsa dan suspek,” katanya memetik laporan Buletin TV3 dalam sidang media di sini, hari ini.

Beliau menambah, pihak polis masih menunggu laporan penuh bedah siasat bagi mengesahkan punca sebenar kematian mangsa.

Sementara itu, ibu mangsa, Wong Lee Pong dalam sidang akhbar semalam mendakwa, ahli patologi memaklumkan anaknya ditikam sebanyak 200 kali, berbeza dengan laporan tular di media sosial yang menyebut 50 kali.

Kejadian itu dilaporkan berlaku di kawasan tandas perempuan di sekolah berkenaan dan melibatkan seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun sebagai suspek.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, manakala suspek kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan lanjut.

Polis menegaskan bahawa siasatan berjalan secara teliti dan pihaknya akan memastikan setiap bukti dan keterangan saksi dikumpulkan untuk mendukung pendakwaan di mahkamah.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button