JENAYAH & MAHKAMAH

Pelajar terbabit salah laku seksual akan dibuang sekolah – KPM

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) menegaskan pelajar yang didapati bersalah dalam kes salah laku seksual di sebuah sekolah di Melaka akan dikenakan tindakan buang sekolah.

KPM berkata, pihaknya memandang serius insiden tersebut dan memberi tumpuan terhadap kebajikan pelajar perempuan yang menjadi mangsa.

“Pelajar berkenaan kini sedang mendapatkan rawatan di hospital dan diberikan sokongan psikososial bagi membantu kestabilan mental dan emosi.

“Tindakan lanjut terhadap kes ini sedang dijalankan oleh pihak berkuasa dan semua pelajar yang disyaki terlibat telah ditahan reman,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurut kenyataan itu, siasatan masih berjalan dan pelajar terbabit yang kini berada di Tingkatan Lima mempunyai hak untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dijadualkan bermula bulan depan.

“Keputusan ini tidak mengganggu proses undang-undang yang sedang berjalan. Lembaga Tatatertib Sekolah akan menjatuhkan hukuman buang sekolah terhadap mana-mana pelajar yang didapati bersalah,” jelas KPM lagi.

KPM turut berkata, keputusan sama pernah diambil dalam kes salah laku seksual membabitkan tujuh pelajar di Sabah pada tahun 2019, di mana mereka tetap dibenarkan menduduki peperiksaan SPM walaupun sedang disiasat.

Langkah itu diambil bagi memastikan hak pelajar terhadap pendidikan tidak dinafikan sebelum proses undang-undang selesai.

Sementara itu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, tindakan undang-undang terhadap empat pelajar yang disyaki telah diserahkan sepenuhnya kepada polis.

“KPM memberi tumpuan kepada aspek disiplin, ekosistem sekolah serta sokongan psikososial kepada semua pihak yang terlibat dalam insiden tersebut.

“Keputusan membenarkan mereka menduduki peperiksaan SPM pada 3 November ini dibuat bagi memastikan hak pendidikan mereka tidak terjejas walaupun berdepan tindakan undang-undang,” katanya lagi.

Fadhlina turut berkata, pelajar perempuan yang menjadi mangsa kini dalam rawatan dan pemantauan pasukan perubatan serta menerima sokongan daripada pegawai psikososial kementerian.

Kes tersebut mendapat perhatian umum selepas laporan mengenai insiden salah laku seksual membabitkan beberapa pelajar sekolah menengah di Melaka tular di media sosial baru-baru ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button