LUAR NEGARA

Wartawan Palestin maut ditembak ketika buat liputan

GAZA – Seorang wartawan Palestin, Saleh Aljafarawi, dilaporkan maut selepas ditembak ketika membuat liputan pertempuran di kejiranan Sabra, di sini semalam.

Kejadian tragis itu berlaku hanya beberapa hari selepas perjanjian gencatan senjata dicapai antara Israel dan Hamas di Semenanjung Gaza.

Al Jazeera Arabic melaporkan, mangsa berusia 28 tahun itu dipercayai ditembak oleh anggota kumpulan bersenjata yang dikaitkan dengan Israel ketika sedang melaporkan pertempuran di kawasan berkenaan.

Aljafarawi sebelum ini dikenali ramai menerusi liputan video dan laporan lapangan yang memperlihatkan kesan peperangan di Gaza sejak dua tahun lalu.

Rakaman yang disahkan oleh agensi Sanad Al Jazeera menunjukkan jasad wartawan berkenaan, lengkap dengan jaket keselamatan bertulis “press”, di atas sebuah trak.

Beliau dilaporkan hilang sejak pagi Ahad sebelum mayatnya ditemukan kemudian.

Sumber Kementerian Dalam Negeri Gaza memaklumkan, pertempuran di kawasan itu melibatkan “militia bersenjata yang mempunyai kaitan dengan pendudukan Israel”.

“Pasukan keselamatan telah mengepung kumpulan berkenaan selepas menerima laporan bahawa mereka menembak penduduk yang sedang dalam perjalanan pulang ke Gaza dari bahagian selatan,” memetik laporan itu lagi.

Walaupun gencatan senjata diumumkan baru-baru ini, pihak berkuasa tempatan menegaskan keadaan keselamatan di Gaza masih rapuh dan berisiko untuk kembali bergolak.

Dalam satu temu bual bersama Al Jazeera pada Januari lalu, Aljafarawi menceritakan pengalaman getirnya sebagai penduduk yang terpaksa berpindah akibat serangan berterusan.

“Segala pengalaman yang saya lalui selama 467 hari tidak akan pernah saya lupakan. Ia akan kekal dalam ingatan sepanjang hayat,” katanya lagi.

Beliau turut mengakui sering menerima ugutan daripada pihak Israel kerana keberaniannya membuat liputan di kawasan konflik.

“Secara jujur, saya hidup dalam ketakutan setiap saat, terutama selepas mendengar ancaman terhadap saya. Saya hidup dari detik ke detik tanpa tahu apa yang akan berlaku seterusnya,” katanya lagi.

Kematian Aljafarawi menambah kepada lebih 270 wartawan yang terbunuh sejak perang Israel-Hamas tercetus pada Oktober 2023, menjadikannya antara konflik paling berbahaya dalam sejarah terhadap pengamal media.

Sementara itu, gencatan senjata di Gaza kini memasuki hari ketiga menjelang pertukaran tahanan dan tebusan antara Israel dan Hamas.

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dijangka menghadiri Sidang Kemuncak Gaza di Sharm el-Sheikh, Mesir, pada Isnin bersama pemimpin dunia termasuk Presiden Mesir, Abdel Fattah el-Sisi.

Menurut kenyataan Kementerian Luar Mesir, sidang tersebut bertujuan mengukuhkan usaha menamatkan peperangan di Gaza, selain mewujudkan kestabilan dan keamanan jangka panjang di rantau Timur Tengah.

Satu dokumen rasmi bagi menamatkan konflik itu dijangka akan ditandatangani pada sidang berkenaan, namun tanpa kehadiran wakil Israel dan Hamas.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button