Jihad ke bumi Palestin: Seruan perlu disandarkan kepada ilmu, autoriti sah
KAHERAH – Di tengah kekejaman rejim Zionis yang terus mengganas di bumi Palestin, pelbagai seruan jihad bersenjata mula bergema dari segenap pelusuk dunia Islam.
Ada yang melaungkan kewajipan setiap Muslim untuk bangkit mengangkat senjata, ada juga yang menuntut campur tangan ketenteraan serta sekatan keras ke atas rejim penjajah Israel.
Namun, dalam kekalutan emosi dan kebangkitan sentimen, Dar al-Ifta’ al-Misriyyah, badan autoriti fatwa tertinggi Mesir tampil memberikan panduan jelas, berpaksikan prinsip syariah dan realiti semasa umat.
Jihad bukan sekadar seruan emosi
Dalam satu kenyataan rasmi mereka yang dikongsikan Ustaz Faez Fateh Al-Azhari di Facebook, Dar al-Ifta al-Misriyyah menegaskan bahawa jihad adalah konsep syarie yang sangat mendalam.
Ia bukan slogan politik, bukan alat propaganda dan bukan juga alat membakar semangat tanpa asas. Ia datang bersama syarat, rukun dan matlamat yang ditetapkan syarak.
“Tidak ada mana-mana individu atau kumpulan yang berhak mengeluarkan fatwa atau menyeru kepada jihad bersenjata tanpa autoriti dan ilmu yang sah,” tegas kenyataan itu.
Sebarang seruan semberono yang bercanggah dengan maqasid syariah bukan sahaja boleh mencetuskan huru-hara, malah menggugat kestabilan negara-negara Islam sendiri.
Kenyataan itu juga menjelaskan bahawa menyokong rakyat Palestin adalah kewajipan syarie, insani dan akhlaki.
“Namun, sokongan itu mesti diberikan dalam bentuk yang membawa manfaat sebenar kepada mereka.
“Bukan dalam bentuk tindakan tergesa-gesa yang akhirnya hanya menambahkan penderitaan rakyat Palestin sendiri,” kata kenyataan itu lagi.
Salah satu prinsip utama yang ditegaskan adalah bahawa pengisytiharan jihad hanya boleh dilakukan oleh pihak berautoriti yang sah, iaitu pemerintah yang diiktiraf dan diamanahkan menjaga maslahat umat.
Fatwa jihad tidak boleh dikeluarkan oleh mana-mana kumpulan atau pertubuhan tanpa mandat syarak atau sokongan politik yang sah.
Membakar emosi tanpa bertanggungjawab adalah fitnah
Kenyataan itu juga memberi amaran keras kepada mana-mana individu yang menyeru jihad sambil hanya berdiri di belakang – tanpa keinginan atau keberanian untuk berada di barisan hadapan.
Sunnah Rasulullah SAW ialah Baginda sendiri turun ke medan, bukan sekadar meniupkan semangat dari jauh.
“Janganlah menyeru orang lain untuk berperang, sedangkan kamu sendiri tidak mahu menanggung akibatnya,” ujar kenyataan itu penuh tegas.
Tindakan bijak, bukan tindakan tergesa
Menurutnya lagi, seruan kepada jihad tanpa mengambil kira realiti politik, ketenteraan dan ekonomi umat Islam hanya akan membuka ruang kepada mafsadah (kemudaratan) yang lebih besar.
Syariah Islam sentiasa menuntut agar setiap tindakan dinilai dari sudut maslahat dan kesannya terhadap umat secara menyeluruh.
Fokus utama: Hentikan konflik, elak pemindahan dan derita
Dar al-Ifta al-Misriyyah juga menegaskan bahawa fokus utama umat Islam hari ini adalah kepada usaha diplomatik dan tekanan kemanusiaan yang bersifat membina iaitu menghentikan pembunuhan, mengelakkan perpindahan penduduk dan memperjuangkan hak-hak rakyat Palestin dengan cara yang berstrategi.
Justeru, kenyataan itu hadir sebagai panduan buat umat Islam yang cintakan kebenaran, yang mahu bangkit tetapi tidak mahu bertindak melulu.
Dalam dunia hari ini yang sarat dengan manipulasi emosi dan media sosial, seruan kepada jihad tidak boleh datang daripada semangat semata-mata, tetapi mesti disandarkan kepada ilmu, autoriti dan hikmah.
Semoga Allah SWT memberi kita kefahaman, kesabaran dan kekuatan untuk membantu Palestin dengan cara yang benar dan berkesan.
“Hanya Allah Taala Yang Maha Tinggi dan Maha Mengetahui dan Dialah yang memberi petunjuk kepada jalan yang lurus,” tutup kenyataan tersebut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








