Belanjawan 2026: Kerajaan jimat RM15.5 bilion setahun melalui penyasaran subsidi
KUALA LUMPUR – Kerajaan berjaya menjimatkan kira-kira RM15.5 bilion setahun melalui pelaksanaan penyasaran subsidi dan penstrukturan tarif.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah penstrukturan tarif elektrik sahaja telah menjimatkan RM6 bilion, manakala penyasaran subsidi diesel menjimatkan RM5 bilion.
Penyelarasan subsidi petrol RON95 pula berpotensi menjimatkan sekurang-kurangnya RM2.5 bilion setahun.
“Penyasaran subsidi dan penstrukturan tarif elektrik purata menjimatkan RM6 bilion walaupun ada kekhuatiran rakyat terkesan.
“Realitinya, 85 peratus pengguna tidak dikenakan kenaikan tarif, malah sebahagian menikmati penurunan bil,” kata Anwar ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menambah bahawa pengapungan harga ayam dan telur turut menjimatkan RM1 bilion setahun sambil memastikan harga bahan mentah ini terus terkawal di pasaran.
Selain itu, pelaksanaan BUDI MADANI RON95 (BUDI95) berjalan lancar dengan pangkalan data 16.5 juta rakyat yang layak sedang dikemas kini termasuk kuota tambahan untuk 23,000 pemilik perahu berdaftar, kebanyakan di Sabah dan Sarawak serta lebih 52,000 pemandu e-hailing aktif.
Anwar menegaskan, kerajaan menumpukan penyasaran subsidi kerana subsidi pukal sebelum ini sering dimanfaatkan oleh warga asing dan syarikat besar.
“Subsidi sepatutnya hak rakyat Malaysia. Setiap penjimatan bermakna lebih banyak dana untuk kebajikan, kos sara hidup, dan pelaburan prasarana rakyat yang berkualiti,” ujarnya.
Katanya lagi, langkah penyasaran subsidi juga membolehkan kerajaan melancarkan ikhtiar seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA) serta memperkukuh tatakelola bagi membanteras rasuah, mengekang penyeludupan dan memecah tembok kartel yang menjejaskan rakyat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








