BERITA SEMASA

BUDI95 diperluas kepada nelayan, pengguna bot persendirian dan pemegang lesen memandu baharu

PUTRAJAYA – Pemberian subsidi bersasar petrol RON95 (BUDI95) kini diperluas kepada tiga kelompok baharu melibatkan lebih 31,000 individu termasuk nelayan, pengguna bot persendirian dan pemegang lesen memandu baharu.

Menurut Kementerian Kewangan (MoF), langkah itu menjadikan mereka sebahagian daripada lebih 16 juta rakyat yang kini memanfaatkan harga subsidi petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter berbanding RM2.60 seliter tanpa subsidi.

“Lebih 31,000 rakyat lagi kini menerima manfaat sistem subsidi bersasar BUDI MADANI RON95 (BUDI95), selepas Kerajaan meluaskan kelayakan kepada tiga kelompok baharu,” kata MoF dalam satu kenyataan, hari ini.

Antara yang menerima manfaat termasuk lebih 17,900 nelayan berdaftar dengan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM); lebih 4,300 pemilik bot persendirian berdaftar dengan Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah; dan lebih 9,700 pemegang lesen memandu baharu direkodkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Kementerian Kewangan (MoF) telah mengaktifkan kelayakan kepada individu-individu terbabit, menjadikan mereka sebahagian daripada lebih 16 juta rakyat yang kini memanfaatkan harga subsidi RON95 pada kadar RM1.99 seliter berbanding RM2.60 seliter tanpa subsidi,” katanya.

Dalam kenyataan sama, MoF turut memaklumkan sedang memuktamadkan data tambahan melibatkan pengguna bot yang tidak mempunyai lesen memandu di negeri-negeri lain, khususnya Sabah dan Sarawak.

MoF turut memaklumkan, pihaknya sedang berbincang dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan syarikat pengendali e-hailing (EHO) bagi menyelaraskan pelaksanaan penambahan siling kelayakan melebihi 300 liter sebulan kepada pemandu e-hailing sepenuh masa, bagi memastikan kelangsungan pekerjaan mereka tidak terjejas.

“Kerajaan MADANI kekal komited memastikan program subsidi bersasar berjalan dengan lancar, telus dan memberi manfaat secara langsung kepada rakyat,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button